KUALA LUMPUR: Lee Zii Jia adalah perseorangan lelaki terbaik dimiliki negara ketika ini, namun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil tindakan berani dengan menggantung pemain No. 7 dunia tersebut daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.
Tindakan Zii Jia, 23, mahu meninggalkan skuad kebangsaan dalam surat bertarikh 11 Januari lalu menyebabkan badan induk badminton negara itu tidak punya pilihan kecuali menyekat juara All England tersebut daripada bertanding pada kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Keputusan ‘keras’ itu diumumkan Timbalan Presiden II BAM, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohd. Yunoos kerana alasan utama yang diberikan oleh Zii Jia dalam pertemuan dengan pihak pengurusan tidak cukup kukuh.
Dia memberi alasan tidak tahan lagi untuk berada dalam skuad kebangsaan dan gaya hidup yang menekan (cannot stand with national squad and regimented lifestyle).
“BAM ada menasihatinya untuk menimbang semula keputusan ini (menarik diri), namun tiga permintaan Zii Jia iaitu untuk mendapatkan jurulatih peribadi, merancang sendiri kejohanan ingin disertainya dan mendapatkan tajaan sendiri adalah amat sukar untuk kami penuhi,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Selain Zii Jia, juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei turut menerima nasib serupa apabila tidak didaftarkan dalam sebarang kejohanan selama dua tahun, biarpun baru sahaja menyertai Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC).
Jahaberdeen bagaimanapun menegaskan, Zii Jia dan Jin Wei masih boleh membuat rayuan jika masih berminat untuk menyertai sebarang kejohanan di luar negara.