SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menegur dan menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil keputusan sendiri sebaliknya menyerahkan ia untuk disiasat, dibicarakan dan dihukum oleh mahkamah.
Hakim Datuk Abd. Halim Aman berkata, kejadian yang berlaku dalam kes pesalah muda, Daniel Iskandar yang berusia 18 tahun empat bulan apabila ditangkap dan ‘dimandikan’ sebelum videonya dirakam dan menjadi viral perlu dijadikan sebagai pengajaran buat semua.
Menurutnya, tindakan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) masjid menangkap pesalah tidak menjadi satu isu, malah ia dibenarkan.
“Bagaimanapun, yang menjadi perhatian ialah langkah seterusnya apabila AJK menghukum dengan memandikan pesalah sebagai jenazah, cuma tak lakukan kafan sahaja.
“Di bawah kuasa mana tindakan itu dilakukan? Dari aspek perundangan, menangkap, siasat dan tahan perlu dilakukan oleh pihak berwajib yang berbeza tetapi dalam kes ini, terus ditangkap dan dihukum oleh AJK masjid. Ini tindakan keterlaluan,” katanya.
Abd. Halim turut mengingatkan masyarakat supaya menghentikan perbuatan merakam dan melakukan video viral selain mahu mereka tidak mengambil undang-undang dalam tangan sendiri.
“Apa tujuan (merakam dan viral)? Mungkin niat untuk memberikan pengajaran namun sedarlah akhirnya perbuatan itu telah mengaibkan.
“Hentikan (perbuatan merakam untuk viral) sebab belum tentu orang yang melakukan video viral ini bersih di akhirat. Jadikan kes ini sebagai iktibar buat semua,” ujarnya.
Untuk tidak memanjangkan perkara itu, mahkamah menyarankan supaya pihak AJK masjid, pihak yang merakam dan melakukan video viral supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pesalah muda. – UTUSAN