Dera anak kekasih hingga maut, penganggur ke tali gantung - Utusan Malaysia

Dera anak kekasih hingga maut, penganggur ke tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kematian seorang kanak-kanak berusia enam tahun akibat didera teman lelaki ibunya sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus pada April 2018 terbela apabila lelaki berkenaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini. 

Hakim, Datuk Azmi Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Noraizuwan Hamali, 30, selepas pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, Noraizuwan seorang penganggur didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan, di nombor 33, Jalan Arau, Lorong Chempaka, Kampung Jejawi di sini antara pukul 3.45 petang 18 April dan 12.10 tengah malam pada 19 April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Rafidi Mohamad.

Rafidi dalam hujahnya memohon hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan supaya menjadi pengajaran kerana tertuduh sudah insaf dengan perbuatannya.

Beliau juga memberitahu, tertuduh  mempunyai dua anak berusia sembilan dan 11 tahun yang kini dijaga oleh bekas isteri.

“Usia tertuduh juga boleh dianggap masih muda dan produktif untuk memberi sumbangan kepada negara,” katanya. 

Bagaimanapun, Mohd Izham dalam penghujahannya memohon mahkamah mengenakan hukuman mati seperti yang termaktub dalam undang-undang yang diperuntukkan mengikut  Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

“Ini kerana mangsa yang merupakan anak kepada teman wanitanya mengalami kecederaan yang amat serius,” ujarnya. 

Sementara itu, tertuduh yang berusia 26 tahun ketika didakwa melakukan kesalahan berkenaan, kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika keputusan dibacakan hakim.

Bagaimanapun, ahli keluarga tertuduh yang berada di kamar mahkamah dilihat menitiskan air mata selepas hakim membuat keputusan itu.

Media sebelum ini melaporkan Noraizuwan membunuh Muhammad Rayyan Hidayat di nombor 33, Jalan Arau, Lorong Chempaka, Kampung Jejawi dekat Kangar antara pukul 3.45 petang 18 April dan 12.10 tengah malam 19 April 2018.

Mangsa meninggal dunia pada pukul 4 pagi 19 April di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, selepas tidak sedarkan diri dan muntah beberapa jam sebelum itu.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas pakar patologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa yang mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan pecah usus dipercayai dipukul dengan objek tumpul pada bahagian badan.

Berdasarkan siasatan, lelaki tersebut mempunyai 12 rekod lampau atas pelbagai kesalahan yang kebanyakannya membabitkan kes curi motosikal.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya