KOTA BHARU: Tidak sampai dua jam, semua daging lembu yang dijual pada harga RM26 sekilogram, berbanding harga semasa RM32 sekilogram licin.
Demikian sambutan pada Program Jualan Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Pasar Raya Jelira, Kok Lanas di sini selama dua hari bermula semalam.
Harga daging itu murah kerana diberi ‘subsidi” oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bagi meringankan beban rakyat yang terkesan pandemik Covid- 19.
Ketika tinjauan Utusan Malaysia, daging lembu dan ayam paling laris dengan gerai jualannya menjadi tumpuan pengunjung sebaik dibuka pada pukul 9 pagi.
Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Mohd. Saidi Ismail memberitahu, selain daging lembu, harga ayam juga murah iaitu RM7.70 sekilogram berbanding harga kawalan RM9.10 sekilogram.
“Dalam program ini semua harga kawalan musim perayaan Keluarga Malaysia yang akan tamat pada 4 Februari ini, akan dijual dengan harga jauh lebih murah.
“Ini peluang kepada rakyat di dalam Parlimen Ketereh berbelanja di Pasar Raya Jelira Kok Lanas yang merupakan milik bumiputera,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Saidi, pihaknya sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pasar raya di negeri ini supaya mengadakan jualan Keluarga Malaysia dengan potongan antara 15 hingga 25 peratus bagi setiap produk.
Sementara itu, pemilik Pasar Raya Jelira Kok Lanas, Ahmad Deraman berkata, pihaknya sudi bekerjasama dengan KPDNHEP Kelantan pada setiap bulan bagi meringankan beban rakyat.- UTUSAN