KUALA LANGAT: Penduduk menggesa persimpangan bulatan dekat laluan ke Pulau Carey di Jalan Klang-Banting di sini dinaik taraf dan ditambah baik aspek keselamatan berikutan kerap berlaku kemalangan di kawasan berkenana.
Menurut penduduk, Ramli Mohd. Atan, 65, kemalangan kerap berlaku di kawasan terbabit hampir setiap minggu.
“Seminggu boleh dikatakan berlaku dua kali kemalangan sama ada parah atau sebaliknya. Kadang-kadang kemalangan berlaku disebabkan kenderaan dari Banting brek mengejut bagi mengelak kenderaan dari Pulau Carey atau susur keluar dari kawasan rumah saya.
“Banyak kali juga saya membantu mangsa kemalangan motosikal yang dilanggar dari belakang kerana brek mengejut untuk mengelak bertembung dengan kenderaan lain ketika memasuki bulatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sehubungan itu, Ramli berharap pihak berkuasa memasang papan tanda amaran bagi memberi peringatan kepada pengguna kenderaan dari arah Banting dan Pulau Carey supaya berhenti sebelum keluar ke bulatan tersebut sama ada menghala ke Klang atau Banting.
Katanya, sebelum ini dia sudah membuat aduan agar pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) menambah baik aspek keselamatan agar tiada lagi kenderaan kecil seperti motosikal dan treler terlibat dengan kemalangan.
“Sebelum ini saya mencadangkan agar bonggol dibuat lima meter sebelum semua kenderaan masuk ke laluan di bulatan tersebut tetapi pihak berkuasa memberitahu kaedah itu tidak sesuai dilakukan di jalan utama.
“Saya berharap ada cara untuk memastikan kenderaan dari arah Banting dan Pulau Carey tidak masuk melulu ke Bulatan Pulau Carey ini,” ujarnya bimbang. – UTUSAN ONLINE