Berpanas di sebalik kostum adiwira demi mencari rezeki - Utusan Malaysia

Berpanas di sebalik kostum adiwira demi mencari rezeki

KANAK-KANAK tidak melepaskan peluang bergambar bersama adiwira pati Teh Ais Avenger berhampiran bulatan utama Padang Besar, Perlis.- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Mereka menampilkan watak ceria melayan orang ramai bergambar dengan kostum adiwira seperti Spiderman dan Iron Man yang diperagakan sambil menjual minuman jenama Pati Teh Ais Avenger di sekitar negeri ini.

Namun di sebalik kostum tersebut, mereka kebanyakannya adalah golongan kurang berkemampuan termasuk pelajar yang mencari pendapatan sampingan dan tidak kisah ‘berpanas’ demi mencari rezeki.

Meskipun terpaksa menahan terik sinaran matahari di sebalik kostum, namun kumpulan adiwira berusia lingkungan 15 hingga 22 tahun itu tetap komited untuk terus berusaha menambah baik taraf hidup mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, salah seorang stokis Pati Teh Ais Avenger Perlis, Muhammad Khubaib Mohamad Adi, 34, memberitahu, dia menjalankan perniagaan tersebut bagi menyara hidup anak-anak dan keluarga selepas hilang kerja pada Ogos 2019 ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

“Kira-kira satu bulan setengah saya tidak mempunyai pekerjaan dan mengalami tekanan memikirkan bagaimana untuk mencari wang membeli makan, susu, lampin empat orang anak berusia satu hingga lapan tahun. Dalam tempoh yang sukar itu, saya amat berterima kasih kepada isteri yang sentiasa memberi semangat serta sanggup menggadaikan sebahagian barang kemas sebagai modal memulakan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, dia pernah mengalami pecah bibir akibat panas melampau setelah seharian berjemur memakai kostum selain selalu dikritik serta mempersoal strategi pemasaran mereka memakai kostum adiwira Spiderman.

Sementara itu, seorang lagi pekerja pati Teh Ais Avenger, Mohamad Shakhir Saidy Ridzah, 21, yang mengenakan kostum adiwira Iron Man berkata, dia sanggup menahan panas terik panas matahari kerana ingin berdikari kerana tidak mahu menyusahkan ibunya.

“Selepas bapa meninggal dunia akibat kanser, saya ingin berdikari mencari duit sendiri bagi meringankan beban ibu yang juga seorang pesara kerajaan. Saya memang dilatih untuk berdikari sejak kecil dan bekerja untuk mencari pendapatan sendiri tanpa menyusahkan orang lain,” katanya yang baru menghabiskan pengajian diploma Syariah institusi pengajian tinggi di sini.

ZAIDON Abdullah yang memakai kostum lembu tenusu menjual produk berasaskan tenusu di sekitar Kangar, Perlis.- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR

Sementara itu, bagi stokis Cutest Fresh, Zaidon Abdullah, 32, yang menjual produk berasaskan tenusu pula berkata, dia tekad mengenakan kostum sebagai inisiatif bagi menarik perhatian pelanggan.

“Ketika mula berniaga pada 2020, saya hanya memikirkan untuk mencari sumber pendapatan demi membesarkan anak-anak seramai tiga orang memandangkan saya seorang ibu tunggal.

“Perasaan malu, terpaksa menahan panas dan hujan di sebalik kostum itu saya letak tepi kerana dalam kepala saya hanya fikirkan anak-anak dan ibu bapa yang yang kurang sihat di rumah,” katanya yang kini sudah mendirikan rumah tangga setelah bertemu jodoh dengan pelanggannya sendiri.

Menurut Zaidon, dia berterima kasih kepada adiknya yang memberikan bantuan modal selain sokongan daripada anak-anak.

Kelibat Zaidon yang menggayakan kostum lembu tenusu itu dapat dilihat sekitar Kangar, Arau dan Jitra, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya