PASIR PUTEH: Seramai 150 petani yang mengusahakan padi dua musim di Bendang Gaal, Gong Datuk dan Wakaf Bunut di sini berdepan kerugian lebih RM800,000 apabila tanaman terbantut akibat kemarau berlaku lebih awal daripada jangkaan.
Difahamkan, sudah hampir sebulan tiga bendang seluas kira-kira 200 hektar itu tidak menerima bekalan air sehingga menjadi kering-kontang, sekali gus menyebabkan proses pemberian baja kepada benih padi varieti CL20, 277 dan 269 tidak dapat diteruskan.
Wakil mereka, Abdul Rahim Ab. Rahman, 62, yang mengusahakan sawah seluas 37 hektar berkata, padi berusia 70 hari kini sedang bunting dan jika masalah bekalan air tidak diselesaikan segera, ia akan berbuah tanpa isi.
“Selama ini kami bergantung kepada taburan hujan, namun, awal tahun ini kemarau melanda lebih cepat hingga tanah merekah. Semua parit dan longkang saliran air turut kering sampai kami sudah tidak ada sumber air terdekat untuk disalirkan ke sawah.
“Kami memohon agensi pertanian supaya buat kajian dan bantu kami bekalkan air ke dalam parit untuk disalirkan kepada sawah masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di Bendang Gaal di sini hari ini.
Lebih 50 pesawah terbabit turut berkumpul secara aman di situ menggesa agensi kerajaan mengambil berat dan segera bertindak membantu mencaripenyelesaian terhadap isu kemarau tersebut.
Seorang lagi pesawah, Wan Muhamad Khozani Wan Yusof, 59, berkata, baja buah yang digunakan sebelum ini gagal diserap oleh anak pokok padi kerana keseluruhan tanah bendang kering-kontang.
“Padi yang kami tanam pada awal November lalu sepatutnya sudah boleh dituai pada pertengahan Februari.
“Dengan situasi sekarang, kami bakal menanggung kerugian besar kerana sudah banyak menghabiskan wang untuk membajak, membeli baja dan racun. Kami juga terpaksa membeli harga benih padi yang mahal berbanding biasa.
“Padi satu-satunya mata pencarian penduduk di tiga kampung ini. Kami sudah melakukan kaedah pertanian moden mengikut saranan kerajaan namun masalah pengairan ini menjejaskan segala-gala,” katanya.- UTUSAN