Bakal pengantin antara tujuh ditahan berkhalwat  - Utusan Malaysia

Bakal pengantin antara tujuh ditahan berkhalwat 

TUJUH individu ditahan sepasukan penguat kuasa JAIM dalam satu serbuan ambang tahun baharu di sebuah hotel bajet di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sepasang bakal pengantin dicekup berkhalwat dalam satu serbuan ambang tahun baharu di sebuah hotel bajet di Durian Tunggal di sini, awal pagi tadi. 

Dalam serbuan  pukul 1.20 pagi tadi, pasangan berusia 25 dan 23 tahun itu antara tujuh individu yang ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). 

Ketua Pegawai Penguatkuasa, Akmal Nadzim Abdullah berkata, operasi itu dilaksanakan sepasukan 18 penguat kuasa JAIM dan serbuan di beberapa lokasi di sekitar daerah Melaka Tengah serta Alor Gajah. 

“Pada serbuan itu, penguat kuasa  terpaksa mengetuk pintu bilik lebih 5 minit sebelum dibuka oleh individu terbabit. 

“Salah satu pasangan dicekup selepas gagal mengemukakan  dokumen pernikahan dan hanya mendakwa mereka telah bertunang,” katanya pada sidang akhbar selepas serbuan di lokasi kejadian.

Menurut beliau, lelaki terbabit adalah penduduk tempatan dari Bukit Rambai, manakala wanita berusia 25 tahun itu seorang warga Indonesia yang menetap di Cheng. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiga individu termasuk pasangan remaja lelaki dan perempuan turut ditahan ketika  menginap dalam satu bilik yang sama. 

“Di lokasi sama, kita menahan seorang pelajar perempuan dan lelaki tingkatan lima serta rakan mereka berusia 19 tahun. 

“Hasil soal siasat, ketiga-tiga remaja ini dari Seremban, Negeri Sembilan dan datang ke sini dengan menunggang motosikal sejauh 100 kilometer untuk berjalan-jalan sempena tahun baharu,” jelasnya. 

Ujarnya, ketiga-tiga remaja berkenaan memberikan alasan menginap di hotel tersebut kerana hujan dan terpaksa berkongsi bilik kerana tidak mempunyai wang untuk menempah bilik berasingan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya