Artikel Lalitha fitnah SPRM, hina YDPA - Utusan Malaysia

Artikel Lalitha fitnah SPRM, hina YDPA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan penyelidik kanan, K. Lalita menyiarkan dua artikel yang mengaitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dengan pemilikan saham secara salah dianggap telah memfitnah badan tersebut.

Ia juga seolah-olah menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang melantik Azam ke jawatan tersebut berlandaskan undang-undang.

Tidak cukup dengan itu, artikel-artikel yang diterbitkan sekitar Oktober dan Disember tahun lalu di portal berita Independent News Service (INS) juga secara tidak langsung telah menggambarkan Azam dan adiknya, Nasir menyokong politik berhaluan kiri dan aktiviti menyalahi undang-undang seperti penyeludupan dadah serta senjata api.

Artikel-artikel terbabit turut disiarkan di akaun Twitter Defendan atas nama @LalithaVelvet yang masih boleh diakses oleh orang awam sehingga kini.

“Defendan (Lalitha) mempunyai niat jahat apabila menyatakan bahawa dia telah cuba menghubungi plaintif (Azam) beberapa kali bagi mendapatkan maklum balas berhubung berita palsu mengenai Azam sedangkan defendan adalah individu yang bertindak menyebarkan dan memfitnah plaintif,” kata Azam dalam penyataan tuntutan saman yang difailkan semalam.

Sesalinan dokumen tersebut diperoleh media hari ini melalui carian fail mahkamah dan semakan pada sistem kehakiman menunjukkan pahawa kes saman fitnah di antara Azam dan Lalitha itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 15 Februari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Noordura Mohamed Din.

Menurut penyataan tuntutan Azam, kenyataan berbaur fitnah yang diterbitkan oleh Lalitha adalah untuk memperlekehkan nama baik, reputasi dan kedudukan plaintif sebagai seorang individu dan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Kandungan kenyataan berbaur fitnah tersebut berniat untuk menimbulkan kebencian terhadap plaintif untuk menyebabkan kecederaan maksimum kepada nama baik, reputasi dan kedudukan Plaintif serta bertujuan untuk menghancurkan karier Plaintif selaku pegawai tertinggi kerajaan yang sentiasa mempunyai rekod yang bersih dan kredibiliti yang baik,”kata penyataan tuntutan tersebut.

Oleh itu, Azam memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah itu diterbitkan semula dalam apa juga cara.

Plaintif turut memohon agar defendan memadamkan artikel dan ciapan dalam tempoh masa tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf yang akan diterbitkan dalam akhbar atau media sosial pilihan Azam.

Azam turut memohon ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus atas jumlah ganti rugi am dan teruk dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya