SEREMBAN: PKR tidak boleh menerima syarat untuk parti itu meninggalkan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP bagi membentuk kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak menghalang untuk sebarang perbincangan diadakan antara parti namun untuk memberikan syarat sebegitu, ia sukar untuk diterima oleh pihaknya.
“Ada pandangan mahu kerjasama dengan PKR, tetapi mesti menolak DAP, kami tidak boleh terima begitu. DAP dengan PKR adalah induk daripada awal dan masing-masing telah buktikan kesetiaan jadi saya tidak boleh menolak begitu sahaja.
“Sekarang dengan Amanah dan dengan UPKO di Sabah. Kalau mahu bincang secara berasingan dengan PKR atau DAP, kami tidak boleh menghalang untuk berbincang tetapi untuk berikan syarat tanpa DAP atau tanpa PKR, itu sukar diterima,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menghadiri sesi townhall sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Kali Ke-16 di sini hari ini.
Kelmarin, Bersatu dilaporkan sedang mempertimbang menjalin kerjasama dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) namun tanpa DAP.
Jelas sumber, perkara itu dibincang dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan akan dibawa ke mesyuarat biro politik untuk diputuskan.
Sementara itu, mengulas dakwaan keputusan penggunaan logo berbeza dalam kalangan parti gabungan PH bagi menghadapi PRN Johor, Anwar menjelaskan, ia langsung tidak menjejaskan hubungan antara PKR, DAP dan Amanah.
Beliau malahan menjelaskan, penggunaan logo berbeza dalam pilihan raya itu bukanlah sesuatu yang aneh malah pernah berlaku sebelum ini.
“Hubungan kepemimpinan PH masih mantap, ada orang cuba nak gunakan isu logo ini. Dasar dan manifesto PH sama, sebab apa logo lain? ia pernah berlaku pada pilihan raya umum (PRU) pada 2013.
“PRU 2018 semua pakai (logo) PKR, pada PRN Sabah, sebahagian gunakan logo Warisan. Kami guna (logo PKR) kerana sentimen terutama di desa, orang melayu, itu pandangan kami dan bila berbincang, perkara itu disepakati, saya fikir tidak ada masalah.
“Seolah-olah ia belum pernah berlaku dan dibesar-besarkan. Ia ada sejarahnya masing-masing dan bagi kami (PKR) lebih mudah kerana orang sudah kenal logo itu di kawasan desa. Orang di bandar, pinggir bandar mungkin lebih mudah menerima perubahan tetapi di desa mungin ambil masa,” kata beliau lagi.- UTUSAN