ARAU: Suasana di kawasan tali air sungai Kampung Tebuk di sini meriah dengan lebih 170 peserta menyertai pertandingan memancing Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji terbuka Parlimen Arau 2022 di sini hari ini.
Peserta yang terdiri dalam kalangan penduduk setempat itu kelihatan bersemangat memancing ikan ‘darat’ seperti haruan, puyu, sepat dan pelbagai jenis ikan di sungai berkenaan.
Bagi kategori ikan terberat dimenangi Rogayah Khamis apabila berjaya memperolehi ikan haruan seberat 570 gram dalam pertandingan bermula pukul 8 sehingga 11 pagi itu.
Menariknya, percubaan kali pertama Rogayah menyertai pertandingan itu membuahkan hasil selepas sekian lama wanita tersebut tidak pernah mengail ikan.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil DUN Guar Sanji dan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dan cabutan bertuah itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim.
Kata Mohd. Ridzuan, pertandingan tersebut mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat dan sekitar Arau.
Ujarnya, melihat kepada sambutan hebat itu, pertandingan dengan skala lebih besar mungkin diadakan pada masa akan datang.- UTUSAN