40 orang dipindahkan ke PPS di Kuala Langat - Utusan Malaysia

40 orang dipindahkan ke PPS di Kuala Langat

KAMPUNG Sungai Nangka, Banting mula dinaiki air selepas hujan seharian semalam berserta fenomena air pasang besar selama empat hari di Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT : Seramai 40 orang daripada 12 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini ekoran hujan yang berterusan dan fenomena air pasang besar malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, dalam kejadian pukul 7 malam itu, ia telah mengakibatkan banjir kilat di kawasan Jalan Sungai Nangka dan Kampung Kelanang.

Katanya, setakat ini, dua PPS telah dibuka iaitu di Dewan MPKK Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang.

“Ekoran hujan yang berterusan dan fenomena air pasang besar yang berlaku pukul 7 malam tadi menyebabkan kejadian banjir kilat di kawasan Jalan Sungai Nangka dan Kampung Kelanang.

“Jumlah yang dipindahkan ialah seramai 15 orang melibatkan enam keluarga di Dewan MPKK dan 25 orang dari enam keluarga di Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang.

“Hasil pemantauan yang dilakukan mendapati situasi terkini hujan mulai reda dan air semakin surut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi menyelaraskan operasi menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Operasi tersebut melibatkan agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Oleh kerana berlakunya fenomena air pasang besar, penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia (Kuala Langat) disaran lebih berwaspada berdepan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dalam tempoh empat hari bermula 2 hingga 5 Januari.

“Polis daerah Kuala Langat menasihatkan penduduk setempat agar sentiasa berwaspada dan sentiasa peka dengan keadaan cuaca hujan yang berterusan dan mematuhi arahan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) , jika perlu,” ujarnya.

Sekiranya ada sebarang maklumat dan permasalahan yang berkaitan dengan kejadian banjir, boleh hubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Kuala Langat di talian 03-3181 3614 atau 03-3180 1213. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya