KOTA TINGGI: Pembangunan vaksin di negara ini tidak hanya tertumpu kepada vaksin bagi wabak Covid-19 sahaja, sebaliknya memfokuskan kepada vaksin-vaksin lain seperti kanser dan kolera.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara itu bagi memastikan negara memiliki jenama vaksin sendiri sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap vaksin import.
“Pembangunan vaksin dalam negara bukan tertumpu pada vaksin Covid-19 sahaja tetapi juga membangunkan vaksin kanser, kolera dan vaksin lain yang ketika ini diperlukan.
“Ini memastikan kita dapat tampung sekiranya berlaku wabak seperti ini pada masa depan kerana kebergantungan pada vaksin import kadang kala sukar seperti yang kita tempuhi pada tahun 2020 untuk dilaksanakan pada tahun ini tapi inilah tugas kerajaan dalam membantu rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenggara berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian itu di Kolej Yayasan Pelajar Johor (YPJ), di sini hari ini.
Dr. Adham berkata, melalui penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) yang mana mengumpulkan tenaga pakar dan keseluruhan peraturan-peraturan serta tenaga akan menjayakan pembangunan vaksin negara.
Tambahnya, negara berada di landasan betul dalam perkara itu kerana peluang diberikan kepada Mosti untuk memastikan bekalan vaksin mencukupi.
“Dengan kepakaran dan adanya makmal serta kilang pengeluaran kita mampu mengendalikan pembuatan vaksin ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE