KUALA LUMPUR : Utusan Malaysia merangkul tiga anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) Institut Akhbar Malaysia (MPI) -PETRONAS 2020 pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2021 yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara malam tadi
Timbalan Pengarang Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil berjaya bawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, sijil dan trofi selepas mendapat tempat pertama bagi kategori Penulisan Kolum atau Rencana Pengarang Cemerlang.
Sementara itu, Utusan Malaysia turut merangkul hadiah kedua bagi kategori Desain Halaman Pertama Terbaik, menerusi Mohamed Rizal Mohamed Nor dan kategori Laporan Berita Cemerlang, Nuraina Hanis Abd Halim yang masing-masing membawa pulang RM1,500, sijil dan trofi.
Bagi meraikan media tanah air, MPI sebagai penganjur menerima sumbangan dan tajaan bernilai RM412,500 kali ini daripada badan-badan korporat dan agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menjayakan MWM 2021.
MWM kali ini merupakan yang ke-40 penganjurannya dan PETRONAS menjadi penaja sejak 1994 .
Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada majlis tersebut menzahirkan penghargaannya kepada golongan wartawan yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.
Ismail Sabri berkata, wartawan adalah wira tidak didendang kerana ketika negara dan dunia diserang Covid-19, wartawan bertungkus lumus menyediakan maklumat berkaitan pandemik ini walaupun mengharungi bahaya, termasuk merisikokan diri kerana terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“Semua ini dilakukan oleh para wartawan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat dan dapat mengikuti perkembangan semasa tanahair dan luar negara walaupun mereka terkurung di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tanpa wartawan, mustahil berita-berita dan dan maklumat penting dapat disebar luas dengan cepat dan pantas termasuk sidang media Covid-19 yang dilaksanakan hampir setiap hari.
“Oleh kerana sumbangan besar para wartawan kepada negara, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para wartawan sebagai sebahagian daripada petugas barisan hadapan sewaktu pandemik ini. Tahniah dan terima kasih!” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohamed Mentek dan Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya.
Pada majlis juga Ismail Sabri melancarkan buku baharu MPI berjudul Bisnes Media dan Prinsip Jurnalistik.
Ismail Sabri juga mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun stekebagai Hari Wartawan Nasional atau HAWANA, yang pertama kali telah dijayakan pada tahun 2018.
Katanya, kerajaan akan terus memberi sokongan kepada program-program yang sesuai untuk dilaksanakan.-UTUSAN ONLINE