USIM sumbang 22 komputer riba, bantu pelajar terkesan banjir - Utusan Malaysia

USIM sumbang 22 komputer riba, bantu pelajar terkesan banjir

MUHAMMAD Hakimi Alif Rahman (kanan) menerima sumbangan komputer riba daripada wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Prihatin dengan nasib pelajar yang terkesan banjir di beberapa negeri baru-baru ini, pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meluluskan perolehan sebanyak 22 buah komputer riba untuk diagihkan kepada pelajar terlibat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Jailan berkata, langkah proaktif tersebut diambil selepas pihak universiti cakna dengan kerosakan komputer riba membabitkan pelajar terbabit.

“Sebagai permulaan, pengurusan universiti telah meluluskan perolehan sebanyak 22 buah komputer riba melalui Pusat Wakaf dan Zakat USIM untuk diagihkan segera kepada pelajar yang terkesan. 

“Pada kali ini, kami memfokuskan sumbangan kepada pelajar di peringkat Sarjana Muda, penggantian segera komputer riba baharu ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka tidak terjejas,” katanya.

Menurut belia, setakat 24 Disember lalu, seramai 119 orang pelajar USIM direkodkan terkesan dengan banjir dan pihak universiti juga bersedia mempertimbangkan sumbangan tambahan komputer riba sekiranya terdapat keperluan. 

“Disamping itu, USIM turut menyelaraskan bentuk bantuan lain kepada pelajar yang terjejas  antaranya pembersihan kediaman, bantuan makanan kering, wang tunai, bantuan psikologi dan penginapan sementara di kolej kediaman dan rumah tamu universiti,” katanya. 

 Sementara itu, seorang pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan), Muhammad Hakimi Alif Rahman, 21, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan komputer riba miliknya yang dibawa arus banjir yang berlaku baru-baru ini.

“Alhamdulillah, USIM sentiasa prihatin dan saya telah terima komputer riba baharu sebagai ganti,” katanya yang tinggal di Taman Sri Nanding, Hulu Langat Selangor.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya