LENGGONG: UMNO Bahagian Lenggong mencadangkan pemilihan parti di semua peringkat diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Lenggong, Mohamed Tarmizi Tahir berkata, pindaan Perlembagaan juga dicadangkan untuk dibuat dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi menetapkan pemilihan parti diadakan setiap kali selepas pilihan raya umum.
“Semua perwakilan juga sebulat suara meluluskan usul menyokong penuh kepimpinan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.
“Bagi menjamin UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai parti bertanggungjawab, UMNO Lenggong menyokong penuh kepimpinan Ismail Sabri dan Saarani untuk mereka melaksanakan tanggungjawab memimpin negara dan negeri Perak.
“Semua ini adalah penting agar UMNO mampu menstabilkan politik negara,” katanya ketika membacakan usul pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini hari ini yang dihadiri 350 perwakilan.
Menurut beliau, semua perwakilan juga menyokong usul memperkukuhkan parti di mana semua pihak bertanggungjawab menggerakkan jentera parti agar segera mendekati pengundi baharu dan pengundi berumur 18 tahun yang berdaftar secara automatik.
“Persiapan juga mesti diperkukuhkan di mana tumpuan penuh dan serius diberi kepada jentera pilihan raya di semua peringkat.
“Perpaduan dalam parti juga mesti sentiasa dipelihara. Apa sahaja perkara yang boleh menimbulkan perpecahan dalaman parti mesti segera dielakkan,” katanya. – UTUSAN