JASIN: Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin hari ini meluluskan usul tergempar sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Dewan Rakyat pada 2023.
Ketua Bahagiannya, Datuk Hasan Rahman berkata, selain itu usul menggesa supaya pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga mendapat sokongan sebulat suara kira-kira 271 perwakilan yang menghadiri persidangan itu.
Menurutnya, dua usul tergempar dibacakan oleh Setiausaha Bahagian, Datuk Abdul Kalam Hassan itu mendapat sokongan sebulat suara kerana mahu memastikan Ismail Sabri meneruskan pentadbiran negara dan melaksanakan agenda pemulihan negara berdasarkan konsep Keluarga Malaysia.
“UMNO Bahagian Jasin yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri wajar diberikan peluang sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada 2023.
“Seluruh perwakilan memberi sokongan padu kepada segala usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri dalam gagasan aspirasi Keluarga Malaysia, khususnya untuk menyelamatkan rakyat daripada pandemik Covid-19 dan mensejahterakan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas penangguhan mesyuarat tersebut di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Lipat Kajang di sini hari ini.
Berhubung pemilihan parti pula, kata Hasan, seluruh perwakilan menyokong penuh agar ia diadakan selepas PRU-15 bagi memastikan kestabilan parti terpelihara.
Menurutnya, jika pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15, sudah pasti akan berlaku perpecahan dalam kalangan ahli terutama akan wujud banyak kem-kem hingga boleh menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya nanti.
“Tidak ada siapa yang ingin melihat perpecahan dalam parti berlaku jika diadakan sebelum PRU-15. Adalah tidak logik kita ingin melihat parti menjadi lemah hingga menjejaskan peluang menghadapi pilihan raya umum kelak,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE