ALOR SETAR: UMNO Bahagian Alor Setar menyatakan sokongan tanpa berbelah-bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi meneruskan tugas menerajui negara sehingga tamat tempoh penggal Parlimen Ke-14 pada tahun 2023.
Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, sokongan ini mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kerajaan yang dibentuk sekarang dapat menangani krisis ekonomi daripada kesan pandemik Covid-19.
Menurut beliau, semua pihak wajar memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk meneruskan pentadbiran negara dan melaksanakan agenda pemulihan negara yang berteraskan aspirasi Keluarga Malaysia.
“Dalam masa 100 hari Ismail Sabri menerajui negara, plan pemulihan negara berjalan lancar dengan banyak pembukaan semula sektor ekonomi dan pergerakan rentas negeri bagi memberi ruang pergerakan yang lebih baik kepada rakyat untuk membina semula ekonomi yang terjejas teruk akibat arahan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) sebelum itu.
“Kadar pertumbuhan ekonomi negara juga meningkat hasil usaha seluruh barisan Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri (Ismail Sabri),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Yusof memberitahu, Ismail Sabri berusaha dalam menstabilkan politik negara bagi menjamin kemakmuran rakyat dengan termeterainya perjanjian persefahaman bersama parti-parti pembangkang untuk meletak tepi perbezaan politik bagi memulih semula ekonomi dan sosial rakyat.
“Justeru, sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar yang mewakili seluruh ahli-ahli di bahagian ini mengambil ketetapan atas rasa kebertanggungjawaban terhadap masa depan negara akan terus memberi sokongan penuh kepada Ismail Sabri untuk beliau terus memegang tampuk kepimpinan negara sehingga PRU15 .
“UMNO Bahagian Alor Setar juga bersetuju Ismail Sabri dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas PRU-15 tanpa berpaling daripada taat setia kepada perjuangan parti UMNO,” ujarnya.- UTUSAN