Tolak pemimpin politik salah guna kuasa, rasuah antara resolusi Kongres Perpaduan Negara - Utusan Malaysia

Tolak pemimpin politik salah guna kuasa, rasuah antara resolusi Kongres Perpaduan Negara

ANTARA ahli majlis tertinggi WOAG dalam Kongres Perpaduan Negara 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Paradigma pemikiran teosentrik berpandukan kepimpinan Rasulullah SAW perlu diperkasakan melalui tarbiah imaniah bagi menangani dan meninggalkan pemimpin politik yang menyalahgunakan kuasa, rasuah, korup dan tidak berintegriti. 

Itu antara lapan perkara digariskan dalam resolusi dikemukakan Kongres Perpaduan Negara 2021 bagi menjayakan gagasan perpaduan negara selaras dengan keutamaan perpaduan umat Islam sebagaimana matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa merasmikan Kongres berkenaan semalam.

Kepelbagaian dan perbezaan pegangan politik wajar jadi wadah  penyatuan, bermaksud semuanya saling melengkapi dan menyempurnakan yang boleh dicapai dengan membina  persefahaman demi kestabilan dan berganding bahu membina dan membangunkan negara, khususnya dalam situasi menangani krisis ekonomi dan kesihatan. 

“Parti-parti politik perlu mengamalkan budaya politik murni dan meninggalkan politik ala machiavelli demi mengangkat kembali maruah negara bangsa,” memetik resolusi berkenaan hasil perbincangan 10 tokoh pemikir dalam pelbagai bidang yang turut menampilkan pandangan Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof. Dr. Ahmed Mohamed Ahmed el-Tayyeb sempena kongres anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG).

Perkara utama yang digariskan dalam resolusi itu ialah mengangkat Konsep Keluarga Malaysia yang berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran mesti difahami sebagai landasan perpaduan bermula dengan perpaduan Melayu-Islam, yang mesti  turut merangkumkan seluruh rakyat berbilang kaum dan  agama.  

Perpaduan di Malaysia perlu berlandaskan kepada mazhab Ahli  Sunnah Wal Jamaah yang mesti dijadikan rujukan berfikir dan bertindak dalam kerangka Keluarga Malaysia kerana warisan peninggalan intelektual Ahli Sunnah Wal Jamaah  mengandungi tafsiran yang bersifat sederhana.

“Pemikiran ini tiada unsur ekstremisme dan liberalisme, telah terbukti menyediakan  sumber pemikiran bagi mengawal kestabilan dan kesejahteraan,  keharmonian hidup seluruh manusia dan menjadi pencetus kepada  pembinaan negara bangsa dan ketamadunan sejagat,” menurut resolusi itu.

Turut digariskan ialah kepentingan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan sebagai teras bagi  perpaduan bangsa perlu difahami secara bersama. 

Jelasnya, pendekatan perpaduan di Malaysia adalah berbentuk integrasi yang  mengekalkan kepelbagaian identiti, bukan asimilasi yang  meleburkan dan menghapuskan semua identiti. 

“Pendekatan integrasi  jauh lebih lembut dan ringan, justeru semua kelompok rakyat mesti  menerima hak watan serta warganegara lain, bahasa Melayu sebagai  bahasa kebangsaan dan memperkasa pendidikan aliran kebangsaan  sebagai wahana perpaduan khususnya bagi membentuk generasi  muda negara pada masa akan datang,” katanya. 

Selain itu, perkara lain dalam resolusi itu menyentuh institusi Raja-raja Melayu sebagai tonggak kestabilan politik dan penyatu rakyat iaitu institusi itu sendiri mestilah berdiri teguh atas prinsip  keadilan Islam, manakala di pihak rakyat, perlu disedari ia merupakan autoriti wala’ pemerintahan yang menuntut ketaatan rakyat seperti  panduan Islam. 

Usaha membangun pendidikan nilai baik dalam kalangan  generasi kini dan akan datang turut digariskan dalam resolusi yang mana perlu diberikan pengetahuan dan maklumat sesuai  berdasarkan pendekatan kurikulum  dan proses pengajaran dan pembelajaran meliputi pendidikan silang  budaya, fiqh interaksi sesama manusia, kemahiran menganalisis  tahap tinggi dan khidmat komuniti dan amali dalam masyarakat. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya