PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) telah mengaktifkan Pusat Tindakan Krisis Nasional TM bagi memantau lokasi-lokasi rangkaian dengan teliti susulan sebahagian perkhidmatan telekomunikasi disediakan terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri.
TM dalam kenyataan memaklumkan, banjir kilat dan tanah runtuh telah mengakibatkan beberapa nod TM di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang tidak dapat diakses berikutan paras air yang tinggi dan keadaan yang tidak selamat.
Ujarnya, TM juga terpaksa mematikan bekalan elektrik dan peralatan rangkaian di beberapa kawasan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penduduk di situ serta mengurangkan sebarang potensi risiko.
“Kami telah menggerakkan barisan hadapan kami dan apabila keadaan mengizinkan, kami akan segera melaksanakan kerja-kerja baik pulih rangkaian di kawasan-kawasan yang terjejas banjir bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan dan memastikan para pelanggan dapat terus berhubung.
“Kami amat prihatin dengan 50,000 pelanggan unifi, streamyx dan unifi mobile yang terkesan, justeru kami berusaha keras untuk memastikan perkhidmatan komunikasi dapat diberikan semula dengan selamat,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) (GDRN) telah diaktifkan untuk memberi bantuan dan sokongan kepada mereka yang terjejas dengan bencana ini.
Sebagai permulaan, sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan kepada inisiatif-inisiatif bantuan yang terdiri daripada geran padanan bernilai RM25 juta oleh kerajaan, sementara GLC/GLIC akan bersama-sama menyumbangkan RM25 juta lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, bersama-sama dengan ahli GDRN yang lain, pihaknya akan menggerakkan usaha-usaha membantu dan menyelamat bagi memastikan keperluan dan barangan penjagaan kesihatan asas dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.
“Pasukan 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom Askar Wataniah yang terdiri daripada para sukarelawan daripada TM telah dihantar ke lokasi untuk memberikan bantuan dan khidmat kecemasan di seluruh negara dalam bentuk sambungan internet dan talian telefon.
“Biarpun situasi masih tidak menentu, saya bersyukur atas tindakan segera khususnya pasukan kejuruteraan dan khidmat pelanggan TM dalam memastikan para pelanggan kami sentiasa dimaklumkan dan berusaha membaikpulih perkhidmatan sambungan yang amat diperlukan.
“Ketika kita berjaga-jaga untuk berdepan dengan keadaan yang lebih mencabar, kami berharap rakyat Malaysia yang terkesan dapat menerima bantuan yang mereka amat perlukan. Barisan hadapan kami sedang bekerja sepanjang masa untuk memulihkan perkhidmatan supaya negeri-negeri yang terjejas dapat bangkit semula,” ujarnya. -UTUSAN