REMBAU: Tidak hanya terus menunggu tawaran kerja, seorang graduan perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) nekad menceburkan diri dalam perniagaan dengan membuka kedai kopi dan kek sejak sebulan lalu.
Nur Syuhada Kamarudin, 27, berkata, dia mula belajar membuat kek dan menjual kek coklat sejak semester dua ketika menuntut di universiti.
“Selepas tamat belajar pada tahun 2018, saya memohon pekerjaan namun gaji yang ditawarkan sekitar RM1,200 tidak berbahloi. Kemudian, saya berbincang dengan keluarga, mereka menyarankan saya untuk menumpukan sepenuhnya kepada jualan kek dari rumah.
“Alhamdulillah, kini saya bergerak selangkah ke hadapan dengan menyewa dan membuka kedai menggunakan modal sendiri lebih RM20,000 bagi menjual kopi serta kek. Kek saya buat di rumah dan hantar pada pekerja di kedai,” katanya ketika ditemui di Kedai Kopi dan Gula miliknya di Rembau Sentral di sini semalam.
Nur Syuhada berkata, dia kini mempunyai dua dan tidak menyangka, kek yang mulanya dijual bagi menampung perbelanjaan harian ketika menuntut ilmu di universiti telah membuka peluang rezeki buatnya.
“Oleh kerana saya tidak mempunyai latar belakang mengenai jualan kopi serta kek sebelum ini, saya menyertai banyak kumpulan di Facebook serta kelas bagi menambah pengetahuan.
“Saya berharap agar perniagaan ini akan terus maju. Saya percaya rezeki itu datang dari Allah dan sekiranya kita berusaha, pasti ada rezeki buat kita,” katanya.- UTUSAN