KUALA LUMPUR: Mana-mana parti negara ini tidak boleh mendakwa parti atau gabungan mereka itu adalah sebuah parti atau gabungan yang dominan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, landskap politik negara ini sedang melalui satu proses yang amat signifikan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Katanya, ini kerana semua pihak menyaksikan Malaysia yang dahulunya didominasi gabungan parti politik tertentu, kini telah berubah dengan kemunculan parti politik baharu.
“Sebelum PRU-14, sistem dominant party yang diamalkan di negara ini, parti-parti lain yang berada di luar menjadi pembangkang yang lemah.
“Dalam dunia yang makin pesat dengan kemajuan teknologi dan rakyat yang semakin bijak berfikir dan menilai, tidak ada parti yang boleh kekal dominan selamanya, apatah lagi jika parti itu mengabaikan integriti.
“Saya percaya rakyat bijak menilai dan tidak berkompromi dengan mana-mana parti kerana itu sistem parti dominan telah runtuh dan selepas PRU-14 Barisan Nasional tidak lagi menjadi kerajaan memerintah di peringkat Persekutuan.
“Dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan hari ini tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa mereka adalah dominan tanpa mengambil pandangan parti lain yang membentuk kerajaan dan rakyat,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia Ke-50, hari ini.
Persidangan Perwakilan Nasional Ke-50 itu diadakan di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, Menara Gerakan, yang turut dihadiri Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, dan Setiausaha Agungnya, Mak Kah Keong.
Hadir sama , Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin dan Ketua Wanita, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Menurut Muhyiddin, pihaknya juga optimis bahawa PN sebuah sebuah gabungan politik rakyat pada PRU-15 nanti kerana menawarkan sebuah pentadbiran yang prihatin, integriti yang beliau yakin selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat negara ini.
“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, walaupun PN hanya memenangi dua kerusi, tetapi kita menyaksikan satu peralihan sokongan yang agak ketara kepada PN terutamanya pengundi muda.
“Banyak buat analisis tentang apakah keputusan PRN itu beri petanda, tetapi hampir semuanya berkata bahawa the biggest winner is none other than PN,” ujarnya.
Oleh itu katanya, sudah tiba masanya gabungan parti yang dibentuk atas kesedaran dan prinsip integriti itu diajukan sebagai satu pilihan baharu untuk rakyat negara ini.
“Jika dahulu, tiada pilihan sama ada BN atau Pakatan Harapan (PH) tetapi kini PN ada which is a better party, parti yang berdiri atas dasar prinsip integriti.
“PN juga adalah sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang sentiasa memastikan aspek perpaduan kaum, agama dan budaya dalam masyarakat.
“Kita juga telah buktikan bahawa PN mampu tadbir negara dengan baik dengan mengamalkan dasar prihatin rakyat dan mempertahankan prinsip integriti serta kedualatan undang-undang sepanjang mentadbir negara sebelum ini.
“Rekod ini akan kita pertahankan dan persembahkan pada rakyat untuk mereka membuat penilaian apabila sampai pilihan raya umum akan datang,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE