ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya terdapat penularan varian Covid-19 Omicron di daerah ini, baru-baru ini.
Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan dan mengesan penularan varian tersebut di daerah ini.
“Setakat hari ini, tiada kes disahkan dijangkiti varian Omicron termasuk melibatkan individu yang baru pulang daripada mengerjakan umrah di Mekah seperti ditularkan dalam media sosial.
“Begitupun saya menasihatkan agar orang ramai menangguhkan terlebih dulu hasrat untuk menziarahi mereka yang baru pulang daripada menunaikan umrah, selari dengan gesaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kelmarin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sejak kelmarin, tular dalam media sosial termasuk aplikasi WhatsApp satu mesej yang mengingatkan orang ramai supaya mengelak daripada menziarahi saudara-mara dan keluarga yang baru pulang daripada menunaikan umrah.
Penularan mesej tersebut selepas pengumuman dibuat Khairy dalam sidang akhbarnya kelmarin yang memaklumkan, sebanyak 30 daripada 49 kes omicron di negara ini adalah melibatkan individu yang pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.
Sementara itu, Othman berkata, penularan mesej tersebut dikhuatiri menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk di negeri ini.
Justeru, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penularan mesej yang tidak sahih selain terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. – UTUSAN ONLINE