LIPIS: Seorang nelayan Sungai Tanum di Kampung Chegar Perah, Mukim Batu Yon 2 di sini, Abd. Hadi Sulaiman, 47, mendapat rezeki lumayan selepas menangkap seekor ikan Kelah Merah atau nama saintifiknya, Tor putitora satu-satunya spesies liar di habitat sungai yang paling mahal di pasaran negara ini.
Abd. Hadi berkata, banjir yang melanda kampung itu bulan ini membawa tuah di sebalik menanggung kesusahan yang menimpa dirinya serta penduduk yang menjadi mangsa akibat air Sungai Tanum yang mengalir daripada Ulu Jelai melimpah masuk ke rumah.
Katanya, ketika air sungai surut dua hari lalu, dia turun memasang jaring sambil berharap mendapat rezeki untuk menampung pembelanjaan selepas banjir.
“Semalam pada pukul 6.30 petang, saya turun memasang jaring lapan inci di sungai Tanum berdekatan rumah sambil berdoa serta mengharap ada rezeki (ikan liar) terperangkap dalam jaring ini.
“Apabila turun ke sungai ini pukul 7 pagi tadi untuk melihat jaring yang dipasang ternampak alat ini (jaring) bergoyang dengan kuat seolah-olah seekor ikan besar tersangkut di samping menggelepar sehingga air yang kuat berkocak di permukaan sungai,” katanya di Kampung Chegar Perah di sini hari ini.
Menurut Abd. Hadi, Allah SWT memakbulkan permintaannya apabila ditarik sahaja jaring ke atas ternampak seekor ikan kelah merah bersaiz besar yang tidak pernah ditangkap sejak dia bekerja sebagai nelayan Sungai Tanum 20 tahun lalu.
“Saya menarik jaring perlahan-lahan ke atas bot gentian kaca bimbang jika rezeki ikan kelah yang kuat menggelepar ini terlepas ke sungai semula. Apabila sudah naik ke darat dan dibawa pulang ke rumah, saya terus menimbang ikan ini seberat 12.4 kilogram menyebabkan (saya) terdiam seketika sambil membayangkan jumlah pendapatan hari ini,” katanya.
Selanjutnya Abd. Hadi menjelaskan setelah dibuat perkiraan, dia memperoleh rezeki sebanyak RM3,100 berasaskan harga sekilogram ikan kelah merah di pasaran hari ini iaitu RM250 sekilogram.
“Oleh kerana saya sangat perlukan wang selepas musibah banjir untuk perbelanjaan peralatan rumah yang rosak, keperluan dapur dan persiapan persekolahan tahun depan, ikan ini dijual terus kepada pengusaha restoran di bandar Kuala Lipis dengan nilai tersebut.
“Saya bersyukur memperoleh rezeki ini dan bercadang memasang jaring ini semula di tempat yang sama pada petang ini sambil berharap ada lagi ikan kelah merah atau spesies liar lain tersangkut pada peralatan ini untuk juadah keluarga pula,” ujarnya.
Jelasnya, ikan kelah merah sesuai dimasak campuran asam tempoyak, masakan tiga rasa manakala di hotel atau chalet, spesies ini juga boleh dibuat steamboat untuk hidangan pelancong. – UTUSAN ONLINE