Sungai tercemar, penduduk hidu bau busuk - Utusan Malaysia

Sungai tercemar, penduduk hidu bau busuk

ABU Bakar Basir menunjukkan Sungai Lumut Kanan berhampiran kawasan perumahan dan kolam ternakan udang yang tercemar di Seri Manjung dekat Lumut. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: “Malu saya bila saudara mara datang rumah tanya tandas tersumbat ke, sedangkan bau busuk itu datang dari sungai berhampiran.

“Kadang-kadang, bau terlalu busuk terutama ketika air sungai surut,” kata Abu Bakar Basir, penduduk di Taman Desa Bayu, Seri Manjung di sini yang terpaksa menghidu bau busuk dari Sungai Lumut yang tercemar.

Abu Bakar yang menetap di situ sejak 1994 berkata, masalah Sungai Lumut yang berbau busuk terutama di Sungai Lumut Kanan yang berhampiran taman perumahan tersebut sudah berlarutan kira-kira 20 tahun lalu.

Menurutnya, bukan sahaja berbau busuk,  malah, sungai itu berwarna hitam, berminyak dan dipenuhi sampah sarap seperti bekas botol minuman setiap kali air pasang.

Abu Bakar memberitahu, kolam ternakan udang luas di sepanjang sungai dan berada di tengah-tengah kawasan perumahan di situ dan dekat pusat bandar Seri Manjung, turut melepaskan air ke sungai tersebut, cuma tidak pasti sama ada ia sudah dirawat terlebih dahulu atau tidak.

“Sebenarnya, penduduk kerap juga buat gotong-royong bersama Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tetapi masalah tidak juga selesai.

“Perangkap sampah juga ada dipasang oleh MPM tetapi bila air pasang, sampah kembali banyak,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Abu Bakar menyatakan setiap kali membuat aduan, tindakan dilakukan hanyalah mengadakan program gotong royong.

Dia yang juga Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Zon 9 Manjung yang melibatkan kira-kira 6,000 penduduk, menjelaskan sudah tiba masanya sungai itu dijaga dengan rapi agar kelihatan bersih dan indah selaras dengan kedudukan daerah itu sebagai destinasi pelancongan dan maritim.

“Masalah besar lain yang berlaku ialah terdapat tumbuhan pokok-pokok liar yang tumbuh dan membesar di sepanjang sungai tersebut di mana kemungkinan berlakunya pembiakan binatang berbisa seperti ular dan binatang berbisa lain.

“Kami berharap ekosistem pengaliran sungai dapat dipulihkan supaya tiada pencemaran yang berlaku terhadap hidupan sungai dengan sampah sarap yang tidak terkawal,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, kerja penyelenggaraan sungai itu di bawah tindakan JPS dan pihak tersebut juga maklum dengan masalah itu. 

Menurut beliau, MPM ada melakukan pembersihan di sungai itu atas faktor kebersihan bandar dan turut meletakkan perangkap sampah yang mendapat kerjasama daripada pihak JPS untuk menggunakan sistem perangkap yang sesuai. 

“Kita mengutip sampah di sungai tersebut dua hari sekali tetapi kalau hujan lebat, kita akan pantau dan terus kutip jika keadaan memerlukan. 

“Sampah itu antara sampah yang dibuang terus ke sungai. Kita perlu bersama bertanggungjawab dan sampah mesti dilupuskan dengan cara yang betul bukan ke dalam sungai,” katanya ketika dihubungi hari ini. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN