JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri sedang mencari ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun iaitu Muhammad Yusuf Abdul Wali bagi membantu urusan dokumentasi dan pengambilan anak angkat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ibu saudara kanak-kanak itu, Hirmina Taib, 35, berkata, Yusuf dijaganya sejak berusia dua tahun tersebut tidak boleh melalui proses pengangkatan kerana JKM memerlukan maklumat ibu kandungnya.
“Saya dan suami telah menjaga Yusuf sejak ibunya, wanita warga Filipina meninggalkan kanak-kanak itu ketika masih berusia dua tahun.
“Ibu kandung Yusuf yang hanya dikenali sebagai Sitti Aisah, 29, melahirkan Yusuf pada 19 Jun 2015 di Johor Bahru,” katanya di sini hari ini.
Cerita Hirmina, pihaknya telah berusaha mencari wanita tersebut namun tidak menerima sebarang maklumat sama ada dia masih berada di Malaysia atau sudah pulang ke negara asal.
“Yusuf mempunyai sijil lahir dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor namun kanak-kanak itu tidak didaftarkan sebagai warganegara Malaysia. Kami mahu menjejaki ibu kandungnya bagi menguruskan dokumentasi untuk dijadikan sebagai anak angkat dan seterusnya memohon kewarganegaraan,” ujarnya.
Tambah Hirmina, dia dan suami sudah menganggap kanak-kanak itu seperti anak kandung walaupun mereka sendiri mempunyai lima orang anak.
Sehubungan itu, Hirmina meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung Sitti Aisah untuk menghubunginya di talian 011-12130601.- UTUSAN