SJK(C), SJK(T) sah, tidak langgar Perlembagaan - Utusan Malaysia

SJK(C), SJK(T) sah, tidak langgar Perlembagaan

Kewujudan sekolah jenis kebangsan (SJK) Cina dan Tamil tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa kewujudan sekolah jenis kebangsan (SJK) Cina dan Tamil tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali ketika membaca penghakiman ringkasnya berkata, adalah tidak dinafikan bahawa Akta Pendidikan 1996 telah mengiktiraf kewujudan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah venakular telah menjadi sebahagian dalam sistem pendidikan negara. 

Malah penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah-sekolah tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan mahupun membelakangi Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara.

“Kewujudan dan penubuhan sekolah-sekolah berkenaan telah diiktiraf dan dilindungi sejak merdeka.

“Penggunaan bahasa lain selain Bahasa Malaysia juga tidak bertentangan dengan Perlembagaan kerana sekolah vernakular bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa awam yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan,”katanya.

Selain itu, Hakim Mohd. Nazlan menjelaskan, sekolah-sekolah vernakular secara asasnya menyediakan pendidikan peringkat rendah yang mana segala kuasa dan fungsi yang dinyatakan dalam Akta Pendidikan sebahagian besarnya dijalankan oleh Kementerian Pendidikan.

Oleh kerana ia (sekolah vernakular) tidak boleh menjalankan kuasa sebagaimana termaktub dalam Akta Pendidikan maka sekolah-sekolah tersebut tidak boleh disifatkan sebagai badan statutori.

“Dalam penghakiman saya berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Pendidikan 1996, sekolah vernakular atau sekolah jenis kebangsaan tidak boleh dianggap sebagai institusi pendidikan awam yang tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

“Sekolah vernakular juga tidak boleh dianggap sebagai badan korporat seperti sesebuah universiti kerana penubuhan sekolah-sekolah vernakular atau sekolah jenis kebangsaan tidak perlu dikemukakan kepada Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk diiktiraf sebagai sebuah universiti,” kata Hakim Mohd. Nazlan.

Menurut hakim itu, pada ketika ini terdapat lebih 1,800 buah sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara merangkumi lebih 500,000 pelajar pelbagai bangsa.

“Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak untuk mendapatkan pendidikan melarang sebarang diskriminasi dalam pentadbiran institusi pendidikan yang dikawal selia oleh badan berkuasa awam. 

“Oleh kerana sekolah venakular bukanlah satu entiti yang boleh dianggap sebagai badan statutori atau pihak berkuasa awam, maka penggunaan bahasa selain Bahasa Malaysia sebagai medium pengajaran tidak boleh dikira sebagai untuk tujuan rasmi dan ia terlindung oleh peruntukan atau pengecualian dalam Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan,”katanya.

Hakim Mohd. Nazlan berkata demikian ketika membaca penghakiman ringkasnya sebelum menolak saman yang difailkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) serta Gabungan Persatuan Penulis Malaysia tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Pada Disember 2019, GPMS, MAPPIM dan Gapena menamakan Kerajaan Malaysia,  Kementerian Pendidikan dan 11 lagi pihak antaranya Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil dan parti-parti politik seperti MCA, MIC, GERAKAN dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia sebagai defendan.

GPMS, MAPPIM dan Gapena selaku plaintif memfailkan saman memohon diisytiharkan bahawa Seksyen 2, 17, dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, justeru ia dianggap batal dan tidak sah.

Selain itu, mahkamah juga mendapati pihak plaintif mencabar keperlembagaan beberapa peruntukan Akta Pendidikan 1996 gagal menunjukkan terdapatnya pelanggaran yang serius bagi setiap peruntukan yang dicabar.

“Mahkamah secara amnya bersandarkan kepada keperlembagaan sesuatu statut iaitu berdasarkan kepercayaan bahawa Parlimen memahami dan menghargai keperluan rakyat dengan betul; sebarang diskriminasi adalah berdasarkan kepada alasan yang mencukupi; dan badan perundangan tidak akan sengaja melanggar perlindungan perlembagaan.

“Soalan kritikal mengenai standard pembelajaran dan pengajaran di semua sekolah, sama ada sistem pendidikan negara cukup inklusif, dan sama ada kemajuan serta kecemerlangan akademik diutamakan berbanding perkara lain. 

“Kesimpulannya, jawapan bagi dua persoalan utama tindakan saman ini iaitu sama ada Seksyen 2, 17  (penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan) dan 28 (penubuhan sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan) Akta Pendidikan 1996 tidak konsisten dengan Perkara 152 dan sama ada penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular melanggar perlembagaan, kedua-duanya adalah negatif,” kata Hakim Mohd. Nazlan.

Mahkamah membuat keputusan tersebut tanpa sebarang perintah berhubung kos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN