Pada 3 Disember 2016, Naib Presiden UMNO waktu itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sewaktu berdiri di pentas Perhimpunan Agung UMNO telah mendeklamasikan sajak berjudul ‘Korban Hang Tuah’. Pada minit ke dua puisi didendang, dewan PWTC jadi hening, dan semua pemimpin seakan terpaku diulit baris sajak yang terlalu mencengkam:
“Si Tuah bukan menentang Jebat,
Tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa,
Yang kupertahankan bukan raja,
Tetapi kerajaannya,
Tanpa kerajaan tidak akan wujud sebuah negara,
Tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa…”
Sajak ini cukup berpengaruh, bahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga pernah memetiknya. Ia sewaktu di majlis pelancaran buku The Malays di Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 10 Mac 2009 yang turut dihadiri baginda.
Soalnya, apakah mesej dan simbolik sebalik fenomena ‘Korban Hang Tuah’? Siapa Hang Tuah yang dimaksudkan, dan apa mendorong sajak ini digarap?
Mendepani persoalan ini, Mingguan Malaysia menemu bual penulis, Datuk Dr. Zurinah Hassan, 72. Beliau pertama kali menyiarkan sajak ini pada 11 Disember, 1988 dalam akhbar Mingguan Malaysia.
SARAT SIMBOL BERMAKNA
Zurinah yang dianugerah Tokoh Sasterawan Negara pada 2015 berkata, ilham menarikan pena atas kertas dan menggarap sajak itu, didorong rasa ambil berat terhadap nasib bangsa Melayu yang seakan jauh terpinggir.
Katanya, ia langsung bukan ditujukan kepada ahli politik pada waktu itu, sebaliknya hanya mahu membangkitkan persoalan mengenai kelangsungan nasib orang Melayu.
“Walaupun sajak ini telah dibaca dalam majlis-majlis berimpak tinggi oleh pembesar negara, tapi penulisannya itu tak terdorong dan tidak ditujukan kepada mereka.
“Masa ia ditulis, saya tak ingat pun tentang UMNO atau politik pun. Cuma waktu itu sebagai rakyat biasa, saya sangat mengambil berat tentang masa depan orang Melayu, masa depan bangsa kita dalam negara yang majmuk ini.
“Maksudnya, di manakah kedudukan kita orang Melayu? Adakah kita makin maju atau telah hilang kegemilangannya? Sedangkan zaman dulu kita ada Hang Tuah dan banyak lagi,” katanya.
PERTAHANKAN
INSTITUSI DIRAJA
Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, dari situlah terbenih ilham mencoret kata, agar usaha dapat dipergiat untuk memulihara institusi Melayu-Islam, khususnya institusi diraja yang menjadi pasak kepada ketuanan orang Melayu itu sendiri.
“Sewaktu saya tulis sajak itu, terfikir juga, andai takdir kita tiada Raja dalam negara ini, bagaimana keadaan orang Melayu waktu itu? Dalam keadaan desakan dan asakan demokrasi, desakan pihak lain semua ini, jadi apabila saya berfikir begitu, saya teringat episod pertikaman Hang Tuah dengan Hang Jebat.
“Bagaimana Hang Tuah telah dibawa pulang ke Melaka untuk memerangi Jebat. Saya terbayangkan, kalaulah waktu itu Hang Tuah sudah mati dibunuh Bendahara, atau Hang Tuah enggan balik ke Melaka untuk memerangi Jebat, maka itu akan membiarkan Jebat menderhaka. Jadi waktu itu, boleh kita bayangkan mungkin kita tiada Raja. Jadi apabila kita tiada Raja lagi, apa akan terjadi kepada kita hari ini?
“Bila tiada Raja, maknanya tiada ketuanan, kita sudah diasak begini, dengan ekonomi pun tiada, jadi saya menulis sajak ‘Korban Hang Tuah’ itu sebagai simbolik bahawa perbuatan membunuh Jebat itu demi mempertahankan bangsanya. Di situlah pengertian bait sajak: Yang kupertahankan bukan raja, tetapi kerajaannya. Tanpa kerajaan tidak akan wujud sebuah negara, tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa,” katanya. – Mingguan Malaysia