Riwayat MN di penghujung, Pas tak pernah ikhlas - UMNO Pulai - Utusan Malaysia

Riwayat MN di penghujung, Pas tak pernah ikhlas – UMNO Pulai

NUR Jazlan Mohamed ketika berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Riwayat Muafakat Nasional (MN) sudah sampai ke penghujungnya setelah pemimpin Pas tidak pernah ikhlas untuk menerima kerjasama UMNO dari awal lagi. 

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, UMNO sudah tidak boleh lagi untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu yang dilihat hanya bermuka-muka dan berlakon.

Katanya, perkara itu dapat dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila Pas mengkhianati UMNO untuk terus bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah payung Perikatan Nasional (PN).

“Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sudah berunding dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bersetuju untuk memberikan lima kerusi kepada mereka.

“Mereka yang enggan menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dan tetap gunakan logo parti, juga kita benarkan. Namun, di saat akhir Abdul Hadi beralih kepada PN yang memberikan mereka bertanding di tujuh kerusi yang mana mereka kalah kesemuanya. 

“Jadi, kita sudah tidak boleh berdiam lagi. Selama dua tahun bersama, tak usah bersandiwara lagi, tamatkan dan bubar sahaja MN,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai di sini hari ini. 

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, dari awal penubuhan MN sudah menunjukkan ia tidak akan bertahan lama setelah menjadikan politik Melayu dan Islam sebagai wadah utama.

Dalam senario politik semasa, katanya, politik berasaskan kaum dan agama itu tidak bertahan lama dan perlu sokongan rakyat majmuk berbilang kaum seperti yang dilakukan BN ketika ini.

“Ada juga pemimpin UMNO yang tidak habis-habis melaungkan perjuangan MN ini. Mereka hanyalah berbuat demikian demi kepentingan peribadi setelah kerusi yang ditandingi mereka mempunyai ramai penyokong seperti di Kelantan dan Kedah. 

“Pemimpin seperti inilah yang akan merosakkan parti UMNO ini. Sekiranya parti ingin maju ke hadapan, sudah tiba masanya untuk bubarkan sahaja MN,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya