Polis nasihat pengunjung keluar segera dari Taman Negara, elak terkandas banjir - Utusan Malaysia

Polis nasihat pengunjung keluar segera dari Taman Negara, elak terkandas banjir

RASDAN Salleh (dua dari kanan) bersama sebahagian pengunjung yang terkandas masih menginap Danz Eco Resort Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - GAMBAR IHSAN DANZ ECO RESORT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Polis daerah ini menasihatkan pengunjung yang masih bercuti di Taman Negara di sini supaya pulang lebih awal memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ekoran musim tengkujuh.

Ketua Polis Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, sehingga kini seramai 158 orang pengunjung domestik direkodkan menginap di 19 buah chalet swasta dan pusat inap milik pengusaha tempatan sejak pukul 2.40 petang hari ini.

“Kita sudah melaksanakan operasi mengeluarkan pengunjung berkenaan secara berperingkat hari ini menggunakan kenderaan pacuan roda dari Kuala Tahan ke Paya Garok dekat sini.

“Mereka kemudiannya dibawa dengan bot menyeberangi kawasan laluan yang ditenggelami banjir di Kampung Paya Garok, berdekatan Jerantut Feri dan juga laluan berdekatan Kampung Merting untuk keluar ke bandar Jerantut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, polis berharap pengunjung domestik yang merancang percutian ke Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling di sini menangguhkan dahulu rancangan mereka sehingga musim tengkujuh berakhir.

Pengusaha Danz Eco Resort, Rasdan Salleh berkata, seramai 56 orang pengunjung yang menginap di situ sejak sebelum banjir telahpun dimaklumkan tentang laluan utama di Simpang Paya Garok ke bandar Jerantut terputus akibat dinaiki air dan mereka mengambil keputusan menyambung penginapan sementara menunggu air surut.

“Berasaskan tanggungjawab dan nilai kemanusiaan, kami menasihati pengunjung berkenaan supaya memilih untuk menyambung penginapan di sini.

“Kebanyakan pengunjung menginap di resort ini datang dari Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang akur untuk mengelakkan risiko terkandas di laluan tersebut lalu menyambung penginapan di sini,” katanya di Kuala Tahan di sini hari ini.

Menurut Rasdan, bimbang dengan keselamatan dan kebajikan pengunjung yang menginap di situ, pihak pengurusan resort tersebut meminta mereka menginap semula sehingga laluan dibuka kelak selepas banjir surut.

“Ada dalam kalangan pengunjung domestik ini pernah datang beberapa tahun lalu sinonim untuk menginap chalet ini termasuk yang baharu pertama kali berdepan pengalaman banjir dan kami tetap menjaga kebajikan tetamu ini (pengunjung),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya