PONTIAN: UMNO Johor menyatakan pendirian untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menerajui kepimpinan negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menegaskan perkara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya tiada masalah bersama Ismail Sabri untuk terus menjalankan tugas yang diberikan selepas Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos lalu.
Menurut beliau, tidak timbul sebarang persoalan mengenai perkara tersebut, begitu juga semua 26 bahagian UMNO di Johor yang turut menyatakan pendirian sama kepada Perdana Menteri.
Katanya, tumpuan ketika ini adalah bagi meneruskan segala agenda pembangunan yang dirancang selepas pandemik Covid-19 terutama dalam memulihkan ekonomi negara yang semakin beransur pulih.
“Tidak perlu juga kita nyata sokongan kepada Perdana Menteri melalui perjumpaan-perjumpaan sebagainya, yang penting kita sama-sama membantu beliau menjayakan setiap agenda yang dirancang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merangkap Timbalan Ketua UMNO bahagian dan Naib Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Mohd. Sumali Reduan yang juga Setiausaha Kerja UMNO.
Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, sokongan parti kepada Perdana Menteri semakin meningkat yang dapat dilihat melalui perjumpaan dengan Perhubungan UMNO Negeri serta tidak menghadapi masalah untuk melaksanakan arahan yang diberikan.
“Peluang perlu diberikan kepada Perdana Menteri bagi menjalankan amanah yang diberikan tanpa memberikan sebarang tekanan termasuk perlu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dengan segera,” ujarnya.
Katanya, memandangkan Perdana Menteri datang daripada kepemimpinan UMNO, seharusnya semua pihak memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada beliau tanpa berbelah bahagi.
Dalam pada itu, Hasni memberitahu, UMNO negeri itu akan bergerak secara bersendirian bagi menghadapi PRU-15 sekiranya Muafakat Nasional (MN) di Johor masih gagal untuk mencapai persetujuan bersama.
Katanya, tumpuan yang perlu dilakukan adalah memperkukuh kedudukan parti dan membuat persiapan bagi menghadapi PRU-15 tanpa memikirkan soal Pas mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Memandangkan masih ada halangan dalam soal kerjasama dalam MN, seharusnya kita terbuka dengan pendirian mana-mana pihak tanpa menjadikan alasan untuk kita tidak melakukan sebarang aktiviti secara bersama,” katanya.
Sehubungan itu, UMNO Johor menaruh harapan kepada 2,316 cawangan di negeri itu untuk mendekati ahli-ahli serta penduduk setempat bagi memastikan mereka mesra dengan parti itu sepanjang masa. -UTUSAN ONLINE