SEPANG: Pandemik Covid-19 tidak menghalang Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk meneruskan penganjuran program tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Sambutan Jubli Emasnya, tahun ini.
Bertemakan ‘pelestarian alam sekitar’, dua program CSR telah dijalankan sebagai inisiatif agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar dalam kalangan anggotanya dan Keluarga Malaysia.
Program pertama tertumpu kepada usaha pelestarian ekosistem lautan dan tumbuh-tumbuhan menerusi Program Penanaman Semula Pokok Bakau.
Program berlangsung pada 15 Disember lalu dan dihadiri serta dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Dasar dan Antarabangsa), Maniam Arumugam dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Seramai 90 anggota PERKESO turut menyertai dan menyumbang tenaga menanam pokok bakau di sekitar kawasan Sungai Besar di sini.
Selain menanam pokok bakau, aktiviti “river cruise” turut diadakan bagi membolehkan para peserta menikmati keindahan habitat semula jadi flora dan fauna di kawasan ekosistem paya bakau, selain melihat tarikan rumah rakit yang dibina di sepanjang Sungai Besar.
Program kedua pula meliputi aktiviti pembersihan pantai di Pantai Bayu Laut, disertai seramai 114 anggota PERKESO. Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, John Riba Marin.
Untuk mendidik dan menerapkan tabiat kitar semula, peserta program turut ditekankan kepentingan mengasing dan mengitar semula sampah sarap yang telah dikumpulkan semasa aktiviti pembersihan pantai.
Aktiviti pembersihan itu berjaya mengumpulkan tidak kurang 465 kilogram (kg) sisa buangan seperti cebisan plastik, bahan pembungkusan, botol kaca, tin minuman, selipar, putung rokok dan lain-lain dalam masa kira-kira tiga jam.
Menerusi penganjuran aktiviti CSR ini, diharap dapat meningkatkan rasa tanggungjawab anggota dalam usaha pemeliharaan alam sekitar dan mengurangkan pencemaran atau penghasilan sisa buangan khususnya di lokasi tumpuan pelancong.
Program-program CSR ini dilaksanakan sebagai salah satu usaha PERKESO bagi memupuk kesedaran penjagaan alam sekitar dalam kalangan anggota khususnya dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem serta biodiversiti flora dan fauna, selain membudayakan amalan pelestarian alam sekitar agar generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan manfaat sumber alam yang tidak ternilai ini. – UTUSAN