Penunggang motosikal maut dihentak batu - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal maut dihentak batu

MANGSA yang maut selepas ditimpa batu ketika menunggang motosikal di Kilometer 35.4 Jalan Tranum-Bukit Fraser di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang penunggang motosikal terbunuh dihentak batu yang jatuh di Kilometer 35.4 Jalan Tranum-Bukit Fraser ketika berkonvoi bersama 20 motosikal lain menggunakan laluan itu untuk ke ibu negara.

Dalam kejadian  pukul 12.25 tengah hari kelmarin, Nor Eaffendi Mohamad Samsi, 51, mati di tempat kejadian selepas tempurung kepalanya retak selepas topi keledar dipakainya  dihentak batu jatuh.

Bagaimanapun, isteri Nor Eaffendi yang membonceng motosikal tersebut tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Raub,  Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, berdasarkan maklumat isteri mangsa setibanya di tempat kejadian, dia  terdengar bunyi hentakan kuat di kepala suaminya sebelum  motosikal dinaiki mereka terbabas ke kanan jalan.

“Pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati berlaku pendarahan di muka dan topi keledar yang dipakai mangsa yang juga ada kesan retak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan  kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bedah siasat mendapat mangsa meninggal dunia  akibat pendarahan di otak dan tempurung kepala mangsa retak,” kata kenyataan itu. 

Difahamkan pasangan tersebut pada hari kejadian dari Ulu Tiram Johor dan menuju ke Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, sebuah akhbar  melaporkan laluan dari Tranum ke Bukit Fraser, kira-kira 30 kilometer disifatkan bagaikan `jerangkap samar’ apabila terdapat lebih 60 runtuhan tanah di lereng bukit yang dikesan.

Selain itu,  tinjauan juga mendapati terdapat batu yang hampir jatuh di lereng bukit selain pokok yang ‘tergantung’ dan hampir tumbang.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya