Pas perlu nyata pendirian terhadap kerjasama MN - Utusan Malaysia

Pas perlu nyata pendirian terhadap kerjasama MN

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pas diminta untuk tidak lagi berdolak dalik, sebaliknya perlu menyatakan pendirian mereka terhadap kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal itu penting kerana pendirian Pas ketika ini amat mengelirukan terutama semasa membuat ketetapan sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, Pas tidak lagi boleh mengambil pendekatan bercakap lain di depan tetapi sebaliknya di belakang.

“PRN Melaka sudah jelas, Pas memilih Perikatan Nasional (PN) dan bukannya MN. Pas nampaknya telah berpatah arang, berkerat rotan dengan UMNO jika tanpa PN.

“Jadi adalah lebih baik UMNO bersedia untuk bergerak secara solo atas platform Barisan Nasional (BN) dan berdiri atas kaki sendiri tanpa memusuhi rakan taulan kita daripada Pas di lapangan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang, hari ini.

Pada 12 Disember lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan gagasan MN yang dimeterai bersama UMNO pada September 2019 masih kukuh dan belum berkubur.

Abdul Hadi berkata, tiada perbalahan antara Pas dan UMNO sebagaimana dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan hala tuju gagasan tersebut kini di penghujung.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kerjasama UMNO-Pas berkata, UMNO sedia mengambil risiko untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tanpa Pas.

Katanya, dalam PRU-15 kelak, rakyat sangat dahagakan pembaharuan terutama apa yang mampu ditawarkan UMNO dan BN untuk Malaysia.

“Beranikah UMNO menampilkan muka baharu, menjanjikan tata kelola yang lebih radikal dan membawa penyelesaian yang lebih inovatif terhadap kemaslahatan rakyat.

“Pada PRN Melaka yang lalu, 87 peratus calon adalah muka baharu itu merupakan satu pembaharuan ditawarkan parti dan disifatkan sebagai satu langkah berani.

“Kita juga nekad mahu memperkenal undang-undang lompat parti, kita bersungguh-sungguh memerangi katak politik. Ini adalah satu lagi pembaharuan yang menjadikan UMNO dan BN lebih menyerlah berbanding PN atau PH,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya