TOKYO: Bagi kebanyakan orang, musim perayaan sering dinantikan bagi meluangkan masa bersama keluarga dan insan tersayang.
Namun, perkara itu tidak dipersetujui oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Perikatan Revolusi Lelaki Tidak Popular.
Kumpulan itu disertai oleh sejumlah lelaki yang kononnya mendakwa mereka tidak popular dan sukar mencari teman wanita.
Keadaan itu sekali gus membuatkan kumpulan tersebut menolak semua perayaan atau sambutan istimewa berkaitan meluangkan masa bersama keluarga dan insan tersayang.
Kumpulan itu juga mendakwa mereka serius dalam memperjuangkan nasib semua lelaki yang tidak mendapat perhatian.
Organisasi pelik itu mengetengahkan isu berkaitan kesihatan mental dalam kalangan mereka yang tidak popular di seluruh dunia.
Dikenali sebagai Kakuhidou, kumpulan itu dibangunkan pada 2006 oleh Katsuhiro Furusawa selepas dia ditinggalkan oleh teman wanitanya.
Pada tahun ini, kumpulan itu mengadakan perhimpunan membantah perayaan Krismas yang didakwanya ‘berat sebelah’.
“Kami perjuangkan kebebasan untuk tidak bercinta dan tidak berkahwin. Kita tetap boleh bahagia jalani kehidupan! laung kumpulan itu dalam perhimpunan tersebut.