GEORGETOWN: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (2020), Nur Syakirah Noorazli, 18, tidak menyangka ramai pihak prihatin serta sudi menawarnya tempat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas kisahnya disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.
Anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berkata, dia mula menerima panggilan beberapa pengurusan universiti awam dan kolej swasta yang menawarkannya tempat untuk meneruskan pengajian dalam beberapa bidang termasuk yang diminatinya.
Antaranya Pra Diploma Perdagangan dan Diploma Penulisan Skrip di Universiti Teknologi Mara (UiTM); Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Kelantan serta Kolej Universiti Bestari (UC Bestari) di Terengganu.
“Pihak berkenaan juga ada menawarkan beberapa jurusan pengajian lain, namun saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan ahli keluarga.
“Saya amat berterima kasih atas jasa baik pihak-pihak berkenaan yang sudi membantu dan memberi peluang kepada saya melanjutkan pengajian sekali gus mencapai impian yang diinginkan selama ini.
“Saya tidak sabar berada dalam suasana pembelajaran yang baharu dan nekad belajar bersunguh-sungguh demi merealisasikan hasrat menggenggam segulung ijazah kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd. Yusof Latiff turut menyatakan kesediaannya membantu Nur Syakirah melanjutkan pengajian di UC Bestari.
“Kita sedia membantu menguruskan hal kemasukan serta pinjaman pengajian untuk remaja tersebut sekiranya berminat melanjutkan pengajian dengan pelbagai pilihan program termasuk kejururawatan,” ujarnya merangkap Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim).
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Nur Syakirah masih menaruh harapan melanjutkan pengajian di IPTA meskipun 12 permohonannya untuk mengikuti program pengajian gagal selain rayuannya turut ditolak.
Biarpun pasrah, namun dia tetap setia menunggu dan mengharapkan berlakunya keajaiban untuk membolehkannya melangkah kaki ke menara gading suatu hari nanti. -UTUSAN ONLINE