KUALA LUMPUR: Menara Merdeka 118, bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan tertinggi di Asia Tenggara dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun 2022.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, sejak pembinaannya dimulakan pada 2014, menara tersebut kini sudah siap 85 peratus, dengan pemasangan lantai menara telah mencapai Tingkat 118 manakala pemasangan panel kaca telah dipasang hingga ke Tingkat 114.
Menurut beliau, dengan pembangunan seluas 40 ekar, yang mana 50 peratus keluasan tanah tersebut terdiri daripada Stadium Merdeka dan Stadium Negara, penyempurnaan puncak menara Merdeka 118 berketinggian 678.9 meter itu melengkapkan struktur luaran bangunan tersebut.
“Ketinggian puncak menara atau spire Merdeka 118 adalah berukuran 160 meter dengan berat 1,015 tan. Berat ini adalah bersamaan dengan berat 852 buah kereta Proton Saga. Ia diperbuat daripada keluli dan panel aluminium, dan tempoh pemasangan mengambil masa tiga bulan.
“Penyempurnaan puncak menara ini bukan sahaja menandakan siapnya bahagian struktur luaran terakhir menara Merdeka 118 tetapi juga ketinggian menara yang dinanti-nantikan,” kata beliau ketika membentangkan laporan perkembangan terkini Merdeka 118 di sini semalam.
Pembangunan menara ini dibiayai oleh anak syarikat milik penuh PNB, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., selepas kawasan hartanah stadia land yang merangkumi Stadium Merdeka, Stadium Negara dan sebahagian lagi tanah kosong dibeli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Berhad pada 2000.
Antara objektif projek pembinaan menara Merdeka 118 adalah untuk menghidupkan kembali kawasan strategik dengan kegiatan ekonomi dan pada masa sama memberi manfaat kepada warga kota Kuala Lumpur khasnya dan penduduk Malaysia pada keseluruhannya.
Merdeka 118 terletak di lokasi yang sama dengan beberapa bangunan bersejarah negara seperti Stadium Merdeka, Stadium Negara, Victoria Institution dan Stadium Chin Woo, serta melambangkan penyatuan luar biasa antara yang bersejarah dan yang baharu, yang merupakan titik pertemuan antara kawasan Jalan Petaling, Kampung Attap dan Pudu.
Dari arah selatan, presint Merdeka 118 bermula dengan sebuah bangunan anjung tinjau iaitu Look at 118 yang akan menempatkan muzium tekstil, kafe, kedai cenderamata dan anjung tinjau yang sesuai untuk menikmati pemandangan indah menara Merdeka 118.
Di sebelah anjung tinjau, akan dibina sebuah masjid yang mampu menampung seramai 3,000 orang jemaah dinamakan Masjid Merdeka. Masjid ini menampilkan reka bentuk bumbung berkekubah yang menerapkan seni bina Islam, manakala menara di sebelah kirinya mengambil inspirasi daripada huruf alif.
Di tengah-tengah presint Merdeka 11 adalah sebuah taman yang akan menghidupkan Merdeka 118, di tengah-tengah ekosistem yang rancak dipenuhi dengan budaya, aktiviti santai, hiburan, dan kerja.
Di bahagian bawah menara, terletaknya sebuah pusat beli-belah yang bersebelahan dengan Stadium Negara, dihubungkan terus dengan stesen MRT Merdeka, malah pengunjung juga boleh menggunakan laluan bawah tanah dari stesen LRT Plaza Rakyat yang akan membawa pelawat ke 118 Mall.
Menara Merdeka 118 yang bakal menjadi ibu pejabat baharu PNB itu telah menyediakan sebuah terowong sepanjang 1 kilometer di bawah Jalan Belfield untuk memudahkan perjalanan kereta masuk ke tempat letak kereta dari Jalan Syed Putra di Lebuhraya Persekutuan dan Jalan Istana, malah pengunjung boleh masuk dari Jalan Hang Jebat menggunakan pusingan-U bertingkat.
Selain itu, tiga menara kediaman akan dilancarkan pada 2023, dua daripadanya adalah Merdeka Residences dan sebuah lagi adalah Oakwood Premier Serviced Residence serta 17 tingkat tertinggi menara yang akan menempatkan Hotel Park Hyatt Kuala Lumpur yang pertama di Malaysia dengan mempunyai 252 buah bilik dan sebuah kolam renang yang tertinggi di Kuala Lumpur di tingkat 99 akan dibuka pada awal 2023.
Di puncak menara Merdeka 118 adalah dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, membolehkan pengunjung menikmati pemandangan 360 degrees skyline Kuala Lumpur atau melakukan aktiviti menarik seperti berjalan kaki di luar bangunan pada tingkat 117 iaitu Edge Walk atau menaiki tangga dalam Spire Climb.- UTUSAN