Maritim Malaysia dapatkan kerjasama negara jiran cari baki PATI hilang - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia dapatkan kerjasama negara jiran cari baki PATI hilang

SIMON Templer Lo Ak Tusa (kiri) memberi penerangan pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat bot PATI karam di PHC Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendapatkan kerjasama dari Singapura dan Indonesia dalam usaha pencarian baki 16 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang masih hilang susulan insiden bot karam berlaku di perairan Tanjung Balau, di sini Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, sehingga kini kerjasama daripada negara jiran amat baik berhubung kejadian itu.

Katanya, pihak Maritim Malaysia menggunakan kaedah Navigational Telex (NAVTEX) dan e-mel yang disalurkan Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya kepada pusat carilamat negara jiran.

“Kita juga sudah maklum dari awal kejadian ini dan sudah diuar-uarkan di dada akhbar dan media masa. Secara rasmi tentang kejadian ini juga telah dimaklumkan kerajaan Malaysia melalui MRCC Putrajaya dan Kementerian Luar kepada negara jiran. 

“Pihak Kementerian Luar dan wakil konsulat Indonesia juga telah ada sejak hari pertama kejadian berlaku. Singapura juga sudah dimaklumkan kerana ini adalah sebahagian prosedur standard operasi (SOP) jika berlaku insiden di laut,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Tanjung Balau, di sini hari ini.

Tambah Simon Templer, kerjasama tersebut bagi memastikan kedua-dua negara itu berhubung dengan pihak Malaysia jika menjumpai sebarang penemuan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan sehingga pukul 3 petang tadi tiada penemuan mayat dilaporkan pasukan penyelamat sekali gus menjadikan jumlah mangsa dipercayai masih hilang kekal 16 orang.

Katanya kawasan pencarian juga diperluaskan pada hari keempat operasi disebabkan petunjuk pada hari ketiga operasi selepas menjumpai satu mayat di perairan Tanjung Punggai, Pengerang.

“Keadaan cuaca tidak menentu hujan dan ombak besar telah menghadkan penglihatan sewaktu operasi mencari dilakukan. 

“Berikutan itu pencarian udara hanya libatkan sebuah pesawat iaitu Maritim Malaysia sahaja walaupun awalnya dirancang tiga pesawat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) turut sama,” katanya.

Kata beliau, keputusan penutupan PHC hanya akan dilakukan bergantung kepada petunjuk dan keadaan semasa selain atas perbincangan kesemua agensi terlibat.

“Berdasarkan SOP minimum pencarian selama empat hari boleh menjangkau 10 hari walaubagaimanapun ia bergantung kepada petunjuk sedia ada dan keadaan semasa yang mana keputusan tersebut atas perbincangan semua agensi.

“Kita sedia maklum operasi mencari menyelamat perlukan kos tinggi dan kekuatan anggota yang ramai. Sekiranya pangkalan ditutup operasi carilamat tidak bermakna telah berakhir yang mana ia masih diteruskan tetapi mengikut SOP agensi masing-masing dan tidak lagi secara bersepadu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya