Mangsa bot karam meninggal dunia - Utusan Malaysia

Mangsa bot karam meninggal dunia

MAYAT mangsa bot karam ditemukan nelayan pagi tadi dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musoh, Pengerang sebelum dihantar ke Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Salah seorang daripada 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi di sini meninggal dunia pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 30-an disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Katanya, mangsa merupakan satu-satunya yang mengalami kecederaan kritikal ketika ditemukan bersama PATI lain pada hari kejadian bot karam tersebut.

“Pada hari ini terdapat berita sedih apabila dimaklumkan bahawa salah seorang mangsa yang selamat pada hari pertama kejadian telah meninggal dunia awal pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat tidak rasmi, punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Tanjung Balau, Kota Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, satu lagi mayat PATI yang lemas berjaya ditemukan kira-kira 2.7 batu nautika di perairan Tanjung Punggai, Pengerang pagi tadi.

Mayat lelaki dianggarkan berusia 30-an itu ditemukan oleh nelayan tempatan dan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

“Oleh itu jumlah mangsa dijumpai setakat ini adalah seramai 34 orang, baki yang dipercayai masih hilang adalah 16 orang. Pecahan mangsa yang selamat seramai 13 orang dan mangsa meninggal sehingga kini seramai 21 orang termasuk mangsa yang meninggal dunia di HKT,” katanya.

Tambahnya dalam operasi menyelamat masuk hari ketiga, pencarian di udara melibatkan helikopter milik Maritim Malaysia, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan kawasan pencarian 135.8 batu nautika persegi.

Bagi pencarian di laut, pasukan penyelamat menghadapi sedikit cabaran berikutan cuaca kurang baik hujan dan guruh selain ombak berketinggian 2.5 hingga 3.5 meter.

“Keadaan cuaca amat menyukarkan operasi pencarian di laut. Sebanyak lima buah aset terdiri dari dua buah kapal dan tiga bot Maritim Malaysia , Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) turut terlibat pencarian di laut dengan keluasan kawasan 79 batu nautika persegi.

“Manakala pencarian di persisiran pantai diteruskan oleh semua agensi meliputi kawasan Tanjung Siang ke Tanjung Balau dengan penugasan secara bergilir 24 jam sehari tanpa henti sejak operasi mencari dan menyelamat ini dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya