KUALA TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir di negeri ini naik mendadak kepada 248 orang dalam tempoh hanya enam jam bah melanda.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 4 petang ini, mangsa tertinggi direkodkan di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di Dungun dengan seramai 177 orang melibatkan 64 keluarga.
Katanya, di daerah sama, PPS Dewan Serbaguna Kampung Shukur turut mencatatkan pertambahan penghuni kepada 71 mangsa.
“Buat masa ini, kenaikan mangsa membabitkan daerah Dungun manakala di Kemaman, PPS Dewan Sivik Air Putih kini ditutup selepas 37 mangsa pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sekretariat itu berkata, cuaca semasa masih lagi hujan di beberapa tempat dengan lembangan sungai utama turut menunjukkan trend menaik. – UTUSAN