PETALING JAYA: Walaupun banyak kawasan ditenggelami air akibat banjir, misi bantuan kemanusiaan tetap diteruskan menerusi penggunaan teknologi dron.
Terbaru, sebuah syarikat mengambil inisiatif tersebut bagi memastikan tiada mangsa yang ketinggalan daripada menerima sebarang bantuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Eco Eschroll Sdn. Bhd. Mohd Ammar Aiman Samsul berkata, beliau memutuskan untuk mengambil langkah tersebut selepas banyak kawasan ditenggelami air dalam kejadian banjir baru-baru ini sehingga menyukarkan misi bantuan.
Katanya, langkah tersebut juga dibuat sebagai sumber alternatif bagi menjimatkan masa dan pendedahan kepada sukarelawan yang terlibat untuk melaksanakan misi yang sama pada masa akan datang.
“Enam dron membawa makanan diterbangkan kerana orang ramai tidak boleh masuk ke sana dan kenderaan tidak boleh lalu kerana paras air tinggi.
“Paling penting matlamat kami mahu memberi bantuan kepada semua mangsa tercapai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Ammar berkata, pihaknya turut menyumbangkan sebanyak 300 pek produk penjagaan rumah berjenama Bieu Argile kepada mangsa untuk membersihkan kediaman dan barangan yang terkesan ketika tempoh pasca banjir nanti.-UTUSAN ONLINE-