ALOR SETAR: Seorang lelaki Myanmar ditahan selepas menghantar bayinya yang berusia setahun yang cedera di kepala dan muka ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam kerana mendakwa ditendang lembu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. S. Suresh Kumar berkata, lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan pegawai perubatan HSB pada pukul 10.56 malam.
“Kecederaan tersebut dikatakan akibat ditendang seekor lembu semasa bayi perempuan terbabit sedang bermain di luar rumah.
“Siasatan polis mendapati mangsa dilanggar bapanya ketika mengundur kereta di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, keadaan mangsa stabil dan masih di bawah pengawasan wad unit rawatan rapi (ICU) HSB manakala lelaki berusia 27 tahun direman.- UTUSAN