SHAH ALAM: Seorang lelaki Indonesia berdepan hukuman mati selepas didakwa atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, M’hd Udai Adlani, 27, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, namun tiada pengakuan direkodkan.
Berdasarkan pertuduhan, M’hd Udai didakwa membunuh penebar roti canai, Zakaria di Restoran ZN Catering, Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh pada pukul 9.35 malam, 19 Disember lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan mahkamah membenarkan permohonan itu sebelum menetapkan 21 Februari 2022 untuk sebutan semula kes.
Pada 20 Disember lalu lelaki terbabit dilaporkan menikam rakan senegara dalam satu pergaduhan di sebuah restoran di Medan Selera berhadapan RHB Bandar Baru Sungai Buloh.
Zakaria ditikam dengan pisau ketika sedang menebar roti canai oleh suspek berusia 27 tahun yang juga pekerja kedai nasi lemak di situ.
Mangsa yang cedera parah telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan dia dilaporkan meninggal dunia empat hari kemudian.- UTUSAN