Lelaki bunuh kekasih dihukum mati - Utusan Malaysia

Lelaki bunuh kekasih dihukum mati

SOBRI Abdul Wahab (tengah) dijatuhi hukuman gantung di leher sampai mati selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / NORHAYATI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus syarikat binaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Abd. Halim Aman menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Sobri Abdul Wahab, 43, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan pada akhir peringkat kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Abd. Halim berkata, terdapat keraguan pada keterangan yang disampaikan oleh tertuduh sendiri ketika memberikan keterangan dari kandang tertuduh.

Katanya, pembelaan terhadap tertuduh juga lebih berkisar pada penafian semata-mata.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

“Isu sudden provocation yang dibangkitkan pihak pembelaan juga tidak wujud dalam kes ini,” katanya.

Selain itu, Abd. Halim memberitahu, keterangan saksi pendakwaan ke-15 jelas menunjukkan perbuatan tertuduh terhadap si mati telah dilakukan dalam penuh sedar.

“Penyakit skizofrenia (yang dialami tertuduh) tidak mengganggu dan bukan penyebab  semua kejadian itu berlaku.

“Tertuduh bunuh si mati dalam keadaan penuh sedar dan tiada hukuman lain dalam kes ini dan tertuduh disabitkan dengan hukuman gantung di leher sampai mati,” ujarnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang perempuan warga Indonesia, Gusnima, 38, di sebuah apartmen di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 6 petang hingga 8 malam, pada 10 Mac 2018.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Perbicaraan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Zuraini Abdul Razak memanggil seramai 15 saksi pendakwaan sejak kes itu mula dibicarakan pada 11 Jun 2019.

Pihak pembelaan diwakili peguam, Khairul Naim Rafidi dan Faridah Mohamad memanggil dua saksi termasuk tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh.

Akhbar sebelum ini melaporkan peguam memohon mahkamah untuk menghantar tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan psikiatri kerana kurang siuman.

Katanya, tertuduh sebelum ini pernah menjalani rawatan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kali terakhir pada 2016, sebelum berubat secara tradisional.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dengan tertuduh menjalani rawatan di hospital berkenaan selama sebulan mengikut Seksyen 342(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Sebelum ini, media melaporkan Gusnima ditemui mati dibunuh dengan 28 tikaman selepas dipercayai terlalu mendesak kekasihnya untuk berkahwin dengannya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya