PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia mengumumkan bahawa permohonan pelanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi Program Rehiring akan dibuka mulai 20 Disember ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimeen Daud berkata, pihaknya menggesa semua majikan mengambil peluang ini untuk memperbaharui PLKS pekerja masing-masing.
Beliau berkata, menerusi lanjutan ini, pekerja dan majikan mestilah tidak melanggar apa-apa syarat pas yang dikeluarkan semasa penggajian di bawah Program Rehiring.
“Selain itu, pekerja yang disenarai hitam tidak layak untuk memohon lanjutan ini, malah, pekerja juga tidak boleh bertukar majikan atau sektor, kecuali melalui kelulusan khas Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kami juga menetapkan hanya majikan dan wakil majikan yang sah dibenarkan mengemukakan permohonan lanjutan ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, lanjutan PLKS dibenarkan secara dalam talian melalui ePLKS atau MyEG selain tertakluk kepada prosedur penggajian pekerja asing yang berkuat kuasa.
Khairul berkata, majikan boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai pelanjutan tempoh penggajian bagi pekerja PLKS di bawah Program Rehiring ini di laman sesawang JIM di pautan www.imi.gov.my.
Katanya, sehingga 30 November lalu, pihaknya merekodkan 185,577 PLKS Program Rehiring yang masih aktif.
“Mengambil kira pelaksanaan Program Rehiring mulai tahun 2016, PLKS yang sah laku untuk tempoh lima tahun bagi program ini akan tamat secara berfasa mulai tahun 2021 sehingga tahun 2024.
“Kerajaan pada 19 November lalu telah bersetuju agar tempoh penggajian pemegang PLKS bagi Program Rehiring dilanjutkan setahun demi setahun sehingga maksimum lima tahun tertakluk kepada keperluan,” katanya.- UTUSAN