Khazanah, Yayasan Hasanah sumbang RM7.5 juta  - Utusan Malaysia

Khazanah, Yayasan Hasanah sumbang RM7.5 juta 

Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan yayasannya, Yayasan Hasanah masing-masing mengumumkan sumbangan bernilai RM5 juta dan RM2.5 juta untuk membantu menyokong usaha bantuan segera kepada mangsa banjir. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan yayasannya, Yayasan Hasanah masing-masing mengumumkan sumbangan bernilai RM5 juta dan RM2.5 juta untuk membantu menyokong usaha bantuan segera kepada mangsa banjir. 

Di samping sumbangan kewangan, Yayasan Hasanah turut bekerjasama dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada mangsa banjir.

Sumbangan itu akan disalurkan melalui Rangkaian Tindakan Bencana (GDRN) Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang ketika ini menyelaraskan bantuan kepada mangsa yang memerlukan bantuan segera. 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah bersama Yayasan Hasanah telah menggerakkan pelbagai bantuan di kawasan terjejas untuk membantu dan menyokong mangsa, selari dengan sokongan kepada kerajaan untuk memastikan isi rumah ini pulih dengan segera.

“Dalam menangani situasi tersebut, kami akan melakukan segala yang mungkin dan menghargai bantuan yang diberikan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat kepada mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari memaklumkan, sumbangan kewangan yang diterima akan digunakan untuk bantuan segera termasuk logistik, penyediaan makanan dan kit kebersihan untuk keluarga dan kanak-kanak. 

“Sebagai Sekretariat Bersama untuk GDRN bersama Yayasan TM, saya juga ingin melaporkan bahawa pelbagai GLC dan GLIC kini berada di lapangan untuk memberikan bantuan kemanusiaan yang diselaraskan kepada mangsa.

“Khazanah, Yayasan Hasanah dan rakan kami akan turut menyediakan bantuan perubatan termasuk pembersih tangan, kit ujian pantas dan pelitup muka. Semasa fasa pemulihan, bantuan kewangan akan digunakan untuk peralatan membersih, menyediakan kelengkapan asas rumah, kit kembali ke sekolah dan membantu sukarelawan,” ujarnya.

Khazanah sebelum ini memberikan sokongannya kepada pelbagai usaha bantuan dan pembinaan yang diterajui GDRN susulan banjir di Kelantan, Pahang dan Johor pada 2013 dan 2016. 

Tahun lalu, Khazanah turut menyumbang RM20 juta melalui GDRN untuk menyokong usaha bantuan melawan pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya