Kerusi Sungai Udang: Bantahan awal SPR, dua yang lain didengar 7 Februari - Utusan Malaysia

Kerusi Sungai Udang: Bantahan awal SPR, dua yang lain didengar 7 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Melaka menetapkan 7 dan 11 Februari ini bagi mendengar bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lain terhadap petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

Petisyen itu dikemukakan oleh calon BN, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dalam usaha membatalkan kemenangan Dr. Mohd. Aleef Yusof bagi kerusi tersebut, bulan lalu.

Tarikh-tarikh itu dimaklumkan kepada pihak media oleh Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy yang mewakili SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah, hari ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu, Mohamad Ali tewas apabila kerusi itu dimenangi oleh Mohd. Aleef dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 530 undi.

MOHAMAD ALI MOHAMAD

Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen itu pada 14 Disember lalu di Mahkamah Tinggi Melaka atas dakwaan terdapat unsur rasuah pada PRN di kawasan tersebut.

Beliau menamakan tiga pihak iaitu Mohd. Aleef, 35, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang dan SPR sebagai responden-responden.

Menurut petisyen itu, Dr. Mohd. Aleef sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya sebelum dicalonkan oleh Bersatu untuk bertanding di Sungai Udang.

Mohamad Ali mendakwa Mohd. Aleef tidak pernah dipilih sebagai ADUN dan tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya untuk bahagian itu.

Dakwanya, responden bergantung kepada Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz untuk memperkenal beliau kepada pemilih atau pengundi.

Ikmal Hisham adalah bekas ahli UMNO yang menyertai Bersatu selepas BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau telah meletak jawatan dalam UMNO sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

Mohamad Ali mendakwa Mohd Aleef telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 32(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dakwanya Mohd Aleef dan Ikmal Hisham memberikan hadiah dalam bentuk tunai atau barangan bernilai untuk mengubah keputusan pilihan raya bagi kawasan itu.

Beliau memohon perisytiharan bahawa Mohd Aleef tidak dipilih dengan sewajarnya dan PRN di kawasan itu adalah terbatal serta perintah atau relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya