SHAH ALAM: Jenazah sembilan beranak yang maut dalam kemalangan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya ELITE, dekat sini, malam tadi, akan dikebumikan esok.
Lima daripada mangsa termasuk ibu mereka, Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37, dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad.
Empat lagi mangsa termasuk seorang bayi berusia 10 bulan akan dikebumikan secara berasingan berikutan didapati positif Covid-19.
Adik kepada Norul Naziah, Nurul Atika, 33, ketika mengesahkan perkara itu berkata, pengebumian kesemua jenazah itu dijangka dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini.
“Jenazah terlebih dulu akan disembahyangkan di sebuah surau di Seksyen 17.
“Keluarga akan menguruskan jenazah secepat mungkin dijangka sebelum solat Zohor esok,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Shah Alam di sini, petang tadi.
Tambah beliau, ujian saringan yang dijalankan pihak hospital mendapati empat daripada mereka positif Covid-19.
“Berikutan itu, lima jenazah akan dikebumikan dalam satu liang lahad manakala empat lagi secara berasingan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang maut, Mohamad Rahimi Rolex, 27, dijangka dikebumikan di tanah perkuburan sama malam ini.
Tragedi menyayat hati itu berlaku ketika seorang ibu bersama lapan anaknya termasuk seorang bayi lelaki menuju pulang ke rumah mereka di sekitar Padang Jawa, di sini.
Lebih memilukan, ketika kejadian kereta Proton Wira dinaiki keluarga itu sedang berhenti di tepi jalan akibat mengalami kerosakan sebelum dipercayai dilanggar sebuah treler.
Mangsa yang terkorban adalah Norul Naziah dan empat anaknya iaitu Razarul Amin Abd. Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.
Empat lagi anak suri rumah itu turut maut iaitu Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.
Tragedi itu turut mengorbankan Mohamad Rahimi Rolex yang dipercayai mahu membantu membaiki kereta keluarga tersebut. – UTUSAN