‘Isu buli tak perlu tumpu hukuman semata-mata’ - Menteri Pendidikan - Utusan Malaysia

‘Isu buli tak perlu tumpu hukuman semata-mata’ – Menteri Pendidikan

RADZI Jidin menyampaikan Anugerah Gigih Pedalaman kepada Marno Azman Omar (dua kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penyelesaian kepada isu buli yang berlarutan sejak sekian lama perlu dilaksanakan menerusi pendekatan secara holistik serta tidak hanya tertumpu kepada satu-satu komponen iaitu hukuman semata-mata. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sehubungan itu, aspek pelaporan, pemantauan, penghukuman dan penyedaran perlu diberi penekanan kerana jika hanya memfokuskan kepada satu komponenan, pendekatan secara menyeluruh tidak dapat dilaksanakan. 

“Di dalam Parlimen, saya ada sebutkan mengenai pelaporan dan ia sangat penting. Adakah pelaporan sedia ada ini mencukupi?, adakah kita perlu melihat kepada sistem pelaporan baharu dan jika berlaku kes, bagaimana hendak dilaporkan? 

“Begitu juga pemantauan di sekolah kerana selain menerima laporan, siapa nak pantau mereka di sekolah dan bagaimana pula keadaan pemantauan itu. Adakah kaedah pemantauan ini mencukupi?

“Kita sentiasa berbincang dengan agensi pusat bagi memperkukuhkan perjawatan warden di asrama untuk menjadikan ia satu komponen pemantauan yang dapat membantu mengurangkan risiko kes buli,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di sini hari ini. 

Beliau berkata, kaedah penghukuman juga perlu dilihat dalam memastikan bentuk pelaksanaan hukuman tersebut sama ada ia setimpal atau sebaliknya.

“Akhir sekali ialah penyedaran kerana kita tidak boleh bercakap tentang pelaporan, pemantauan dan hukuman semata-mata, tetapi apakah kesedaran mengenai buli di sekolah. Bagaimana perlu didik anak-anak kita mengenai rasional dan rasa empati terhadap orang lain.  

“Ada sesetengah sekolah apabila pelajar baharu ini masuk, ia dianggap tradisi dan perkara ini tidak betul serta perlu dibanteras. Jadi, penyedaran penting kerana jika tidak, ia berlarutan sekian lama dan tidak selesai sekali gus perlu pendekatan terbaik,” katanya.   

Ditanya mengenai pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang ditamatkan pengajian sebelum ini, Radzi berkata, Kementerian Pendidikan belum menerima permohonan daripada mereka bagi kemasukan ke sekolah harian dan ia perlu melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). 

“Boleh masuk ke sekolah harian tetapi akan ada proses termasuk kaunseling dan guru kaunseling akan bersama murid serta memantau mereka. Kita tidak mahu masalah itu dibawa ke sekolah lain. 

“Namun, dari sudut penilaian risiko, sekiranya kita ada pemantauan yang baik dan pendekatan yang membolehkan murid ini sedar tindakan mereka dahulu adalah salah, kita yakin mereka boleh dibawa ke sistem persekolahan harian,” ujarnya. 

Tambah beliau, sekiranya pelajar tersebut tidak dibenarkan memasuki sekolah harian, ia akan memberi kesan yang besar kepada masa depan mereka. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, persekitaran sekolah harian dan asrama adalah berbeza malah, kes buli kebiasaannya berlaku dalam kumpulan yang ramai tanpa pemantauan. 

“Keberadaan di sekolah harian hanya tempoh tertentu iaitu dari pagi hingga 3 petang, jadi pengawalan itu lebih baik. Saya sendiri seorang murid asrama dan buli ini berlaku dalam berkumpulan, di tengah malam tanpa pemantauan. 

“Apabila seorang diri, dia tak berani, tetapi, kalau beramai-ramai, akan wujudkan keadaan mereka merasakan satu kumpulan menentang seorang,” katanya. 

Sebelum ini, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) membuat keputusan untuk menamatkan pengajian seramai 10 pelajar MRSM yang terbabit dengan insiden membuli, baru-baru ini. 

Kejadian itu tular menerusi sebuah video yang memaparkan beberapa remaja dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN