‘Hati-hati dengan aktiviti di pantai, laut’ - Utusan Malaysia

‘Hati-hati dengan aktiviti di pantai, laut’

ANGGOTA Maritim Malaysia menyerahkan risalah program preventif mencari dan menyelamat (SAR) kepada komuniti maritim dan orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menggesa orang ramai khususnya komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan keselamatan semasa melaksanakan aktiviti di pantai atau laut.

Ia berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu serta laut bergelora pada masa kini di perairan kedua-dua negeri.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, mereka yang berisiko tinggi berhadapan dengan kecemasan di laut antaranya adalah golongan nelayan separuh masa dan penggemar aktiviti rekreasi seperti mandi di laut dan pemancing rekreasi.

“Golongan ini boleh dikatakan tidak arif dengan persekitaran marin (marine nature) berbanding mereka yang bekerja secara harian di laut. Tambahan pula keadaan cuaca semasa di Malaysia yang tidak menentu berikutan peralihan kepada Monsun Timur Laut.

“Maritim Malaysia turut meningkatkan pemantauan di kawasan tumpuan pelancong iaitu di Perairan Telok Kemang dan Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Perairan Pengkalan Balak, Tanjung Puteri di Melaka.

“Dengan mengingatkan pengusaha bot rekreasi agar memastikan peralatan keselamatan ada dan dipakai oleh pengunjung yang menyewa bot mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Selangor melibatkan kawasan Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Kuala Langat.

Amaran sama dikeluarkan melibatkan Johor iaitu di Pontian, Kulai dan Johor Bahru selain Limbang, Sarawak.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata jabatan itu. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya